Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) mendengar penjelasan mengenai mesin Yaskawa GP12 sambil diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (empat kanan), Pengerusi SME Corp, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid (dua kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim (dua kiri) semasa membuat lawatan sempena Sambutan Ulang Tahun Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMIDEX) 2017 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Peruntukan yang besar dalam sejarah diumumkan dalam Bajet 2018 untuk industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diharapkan dapat melonjak sasaran 41 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2020.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan menyedari akan kepentingan PKS dimana sebanyak 98.5 peratus perniagaan adalah terdiri daripada semua perniagaan mikro dan mahu mereka memanfaatkan peruntukan yang diberi dalam mencapai sasaran yang sudah diletak.

“Kita mempunyai sasaran untuk mencapai 41 peratus sumbangan PKS daripada segi KDNK menjelang 2020 dan ketika ini kita berada pada 36.9 peratus.

“Kita sudah membuat kiraan walaupun pertumbuhan sektor PKS amat menakjubkan melampaui pertumbuhan KDNK negara tapi kita masih perlu tambah 8 peratus untuk mencapai sasaran 41 peratus daripada KDNK ekonomi negara,” kata Najib semasa sesi town hall sempena sambutan ulang tahun Pameran Tahunan PKS (SMIDEX) 20 di sini hari ini.

Untuk mencapai sasaran tersebut, Najib menggesa supaya pemain industri PKS melakukan tranformasi dan tidak hanya sekadar berada pada takuk lama sahaja.

“Jadi kita perlu melakukan transformasi dalam PKS kerana ia akan menjadi pemacu utama ekonomi negara, dari sudut menyediakan peluang pekerjaan, dari segi ekonomi dan juga pertumbuhan KDNK.

“Tapi saya tidap mahu PKS terperangkap dalam takuk lama dan sama ya mahu ia ditransformasikan… sebab itu kita memberi peruntukan terbesar untuk PKS sebanyak RM22.2 bilion dalam Bajet 2018,” katanya lagi.

Beliau mahu melihat PKS memanfaatkan peruntukan itu digunakan untuk mengembangkan dan memulakan perniagaan, dieksport dan dalam bidang automasi.

Bagaimanapun, Najib melahirkan rasa tidak gembira dengan produktiviti dalam PKS dan mahu ia ditingkatkan bagi mencapai hasrat sasaran 41 peratus KDNK negara.

“Jadi, saya harap komuniti PKS akan menyerlah daripada peluang yang disediakan ini dan benar-benar melakukan transformasi serta membuat perubahan untuk mencapai sasaran 41 peratus KDNK ekonomi negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast