Penaung Skuad Sayang, Datin Seri Rosmah Mansor diiringi Ketua Pesuruhjaya Skuad Sayang merangkap Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil bergambar kenangan bersama Skuad Sayang pada Majlis Tahunan Bersama Penaung Skuad Sayang di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 18 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Walaupun menjadi seorang isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor namun beliau sendiri tidak tahu tarikh PilihanRaya Umum ke-14 (PRU-14)..

Rosmah bagaimanapun memaklumkan suaminya, Datuk Seri Najib Razak ada bertanya kepadanya mengenai masa yang sesuai untuk pilihan raya diadakan namun memberi jawapan beliau tidak arif tentang hal politik.

“Saya nampak muka-muka (Wanita UMNO) sudah bersedia menghadapi pilihan raya. Jangan tanya saya bila sebab saya tidak tahu.

“Saya rasa yang amat berhormat (Najib) pun tak tahu.  Lepas itu dia tanya saya, when you think we should have (pilihan raya). Saya kata i dont knowlah, i dont know politik,” kata beliau selaku penaung Skuad Sayang di Majlis Tahunan Bersama Skuad Sayang, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Rosmah juga berkata, Ahli Majlis Tertinggi UMNO sebenarnya lebih mengetahui berhubung tarikh pilihan raya memandangkan mereka bermesyuarat setiap bulan bagi membincangkan persediaan parti.

“Jadi Majlis Tertinggi (MT UMNO) selalu bincang. Tiap-tiap bulan bermesyuarat bila PRU-14 akan diadakan.

“Saya tak tahu, tapi saya rasa mestilah sebelum Julai,” katanya.

Dalam pada itu, Rosmah menyatakan suasana politik sekarang penuh cabaran dan dugaan, oleh itu Wanita UMNO perlu melakukan persiapan yang rapi dan tidak boleh selesa dengan kedudukan sedia ada.

“Saya pasti di hadapan kita masih ada gelombang yang lebih besar.

“Kita perlu bersedia untuk melakukan kerja-kerja yang lebih mantap dan berkesan di jiwa rakyat… mahu tidak mahu, Wanita (UMNO) harus berusaha tanpa jemu,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata Wanita UMNO sentiasa berada di belakang Najib dan Rosmah.

Wanita UMNO juga katanya sudah bersedia menjadi tulang belakang untuk memastikan kemenangan BN pada pilihan raya depan nanti.

“Sokongan wanita, tidak pernah luntur. Pada masa sama kita bukan hanya sokongan PM (Najib Razak) tetapi sokongan pada Rosmah pun konsisten dari dulu kini selamanya.

“Semua wanita politik mesti menggalas tugas. Kita khidmat untuk rakyat bukan bermusim dan sentiasa konsisten.

“Dan ini akan bawa kepada kemenangan BN dan kita akan jadi tulang belakang kepada kemenangan BN,” kata Shahrizat lagi.

Di PWTC hari ini, ribuan Wanita UMNO serba merah putih dari 12 negeri berhimpun untuk majlis tahunan bersama penaung Skuad Sayang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast