Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Sirajuddin Salleh (tengah) menyampaikan Anugerah Khas Wira Perkasa kepada Irwan Fahmi Ideris (kiri) sambil diiringi Ketua Wira Perkasa, Burhanuddin Ruslan (kanan) semasa Majlis Perasmian Persidangan Khas Saypa-Sayap Perkasa di Hotel Regency, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Kedudukan orang Melayu dan pribumi yang selesa sejak 63,000 tahun lalu mula terhimpit serta sempit, kata Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Sirajuddin Salleh.

Beliau berkata, paling ketara pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) yang meletakkan penguasaan kerusi Parlimen bagi kerajaan memerintah kurang dua per tiga peratus.

Katanya, kekayaan dan harta negara ketika ini juga hanya tinggal kira-kira 20 peratus sahaja milik Bumiputera.

“Gedung perniagaan dan bangunan pencakar langit yang ada bukan milik Bumiputera, manakala tanah rizab Melayu yang sebelum ini 50 peratus dari bumi Tanah Melayu yang diwasiatkan Raja-Raja Melayu kini tinggal 12 peratus sahaja.

“Begitu juga biasiswa yang sepatutnya milik Bumiputera mengikut Perkasa 153 Perlembagaan, kini tinggal hampir separuh saja dan penggunaan Bahasa Melayu kian dianaktirikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Khas Tahhunan Sayap-Sayap Wira, Wiranita dan Wirawati Perkasa di sebuah hotel di sini, hari ini.

Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Sirajuddin Salleh berucap semasa Majlis Perasmian Persidangan Khas Saypa-Sayap Perkasa di Hotel Regency, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 NOVEMBER 2017

Seramai 1,100 perwakilan dari tiga sayap hadir iaitu masing-masing 400 Wiranita dan Wira serta masing-masing 300 wirawati dan tetamu jemputan.

Hadir sama, Ketua Wira, Burhanuddin Ruslan; Ketua Wiranita, Fauziah Nawawi dan Ketua Wirawati, Marini Nasution.

Dalam ucapan itu, Sirajuddin turut mengingatkan ahli Perkasa dan orang Melayu mengenai kedudukan Islam yang diserang dari pelbagai sudut oleh musuhnya seperti kalimah Allah, kepala babi dibuang ke surau dan masjid, bantahan azan melalui pembesar suara dan bantahan korban Hari Raya Aidiladha.

Tidak cukup dengan itu, kata beliau, musuh Islam membantah pendakwa bebas antarabangsa, Dr. Zakir Naik, bermain gendang di hadapan masjid ketika jemaah sedang bersolat dan terbaharu, mereka membantah Akta 355 mengenai Mahkamah Syariah.

“Jelas, kesucian Islam dan jaminan perlembagaan bahawa Islam adalah agama persekutuan diserang bertubi-tubi, manakala puak liberal Islam seperti G25 dan Sister in Islam juga menambah kekusutan ini.

“Yang sedihnya, puak keagamawan dan agensi Islam yang sedia ada pula dilihat tidak cukup tegas dan tidak lantang membela agama Islam,” tegasnya.

Kata Sirajuddin, atas kesedaran itu, Perkasa ditubuhkan dengan matlamat perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air.

Sehingga kini, kata beliau, banyak juga kejayaan dicapai Perkasam tetapi jika dihalusi, ia hanya berkisar di sekitar membantah atau menghalang tuntutan dan serangan pihak bukan Bumiputera sahaja.

“Kita tidak pernah menyerang mereka, tidak pernah mempersoalkan agama mereka, malah tidak pernah menuntut apa yang tiada dalam Perlembagaan.

“Namun, kejayaan hakiki belum tercapai. Matlamat masih terlalu jauh. Pemilikan entiti ekonomi kita masih sekitar 20 peratus, tanah rizab Melayu masih 12 peratus, biasiswa pun masih pada tahap sama.

“Dari segi politik juga kita belum berjaya menyatukan kaum Melayu dan Bumiputera sehingga menjadi kuasa politik yang padu sebagai tunjang pemerintahan negara,” katanya.

Beliau berkata, politik Melayu yang kian berpecah dan celaru menyebabkan masa depan Islam dan pribumi amat genting ibarat retak menanti belah.

Beliau turut menempelak pemimpin Melayu yang mutakhir ini tidak bersemangat Melayu, selain tiada corak pehlawan Melayu seperti Datuk Harun, Tun Dr. Ismail dan Jaafar Albar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast