KOTA KINABALU, 18 Nov -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan Anggota Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS) ketika menghadiri bagi merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Sabah Ke-32 di Hongkod Koisaan Penampang hari ini. --fotoBERNAMA(2017) HAK CIPTA TERPELIHARA
PENAMPANG – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji beliau akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan Sabah bagi memastikan negeri ini terus maju setanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Sebagai perdana menteri, katanya, beliau berpegang kepada prinsip keadilan dalam soal agihan pembangunan negara supaya seluruh ceruk negara dari Sabah hinggalah ke Perlis dapat menikmati kemajuan dan pembangunan sewajarnya.

“Saya tahu inilah nilai orang Sabah (bersama-sama) membentuk Malaysia. Kita mesti menunjukkan bahawa sebagai sebuah negara, bila orang Sabah mengambil keputusan nak masuk menyertai Malaysia, mestilah kita menjamin bahawa keputusan itu menjanjikan masa depan yang cukup cemerlang bersama.

“Bukan senang orang Sabah nak masuk Malaysia. Saya dibawa ke rumah OKK Sodomon (seorang pejuang kemerdekaan) di Keningau. Rupa-rupanya di rumah itulah allahyarham ayahanda saya (Tun Abdul Razak Hussein) menemui pemimpin Kadazandusun Sabah untuk meyakinkan mereka (pemimpin Sabah) supaya menyertai Malaysia.

“Dan hari ini, ia menjadi tanggungjawab saya supaya apa yang telah diputuskan, apa impian dan cita-cita mereka (pemimpin) dahulu, mestilah kita terjemahkan dalam bentuk bahawa keputusan itulah (bersama membentuk Malaysia) yang menjamin kecemerlangan masa depan rakyat Sabah,”kata beliau.

Najib mengadakan lawatan kerja sehari di Sabah.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Bersatu Sabah (PBS) Ke-32 di Dewan Hongkod Koisaan KDCS di sini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Presiden PBS yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan pemimpin-pemimpin parti-parti komponen BN.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata Bajet 2018, yang dibentangkannya baru-baru ini, dirangka sebegitu menyeluruh bagi memastikan jurang perbezaan pembangunan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung dapat dikurangkan dan dihapuskan suatu hari ini nanti, meskipun mungkin mengambil sedikit masa.

Katanya beliau merangka Bajet 2018, yang memberi peruntukan besar kepada Sabah dan Sarawak serta mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat, kerana bekas perdana menteri yang pernah berkuasa selama 22 tahun tidak melakukannya sehingga kedua-dua negeri itu agak tertinggal berbanding negeri lain.

“Saya kena buat apa yang dia tidak buat…sebab itulah peruntukan untuk Sabah dan Sarawak lebih tinggi dalam Bajet 2018,”kata beliau.-BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast