MELAKA – Rakyat Melaka sentiasa menjadi pilihan syarikat pembuatan terkemuka dunia ekoran kepakaran tinggi dalam bidang teknologi.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sentuhan “tangan” anak Melaka diklasifikasikan mempunyai kualiti hebat dalam penghasilan produk yang diperlukan.
“Syarikat-syarikat terkemuka dunia ini memberi penilaian kepada anak Melaka sebagai cukup cekap.
“Tangan-tangan anak Melaka boleh merubah dunia teknologi tinggi pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Townhall Anak Muda Negeri Melaka dengan kerjasama MalaysiaGazette sempena Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Ab Rauf mengajak anak-anak muda Melaka mengambil peluang untuk terlibat dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). yang menjanjikan masa depan cemerlang.
Generasi muda jelasnya, perlu merebut peluang daripada pengiktirafan industri antarabangsa yang sentiasa memerlukan tenaga pakar anak Melaka.
“Siapa sangka komponen syarikat jam terkemuka dunia dihasilkan daripada sentuhan anak Melaka.
“Komponen lampu depan dan belakang beberapa syarikat kereta
mewah dihasilkan daripada kilang yang beroperasi di Batu Berendam, Melaka yang dimiliki anak Melaka,” katanya.
Kerajaan negeri tambahnya, sentiasa membuka peluang yang besar kepada rakyatnya apabila sebanyak 67 institusi TVET yang diwujudkan di negeri itu. – MalaysiaGazzette
















