KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengingatkan kepada kontinjen negara bahawa ujian sebenar prestasi atlet Malaysia adalah pada Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun depan.
Beliau berkata, kejayaan Malaysia pada Sukan SEA dan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) merupakan permulaan untuk kontinjen negara beraksi lebih cemerlang di peringkat Sukan Komanwel dan Sukan Asia termasuk Sukan Olimpik Tokyo 2020.
“Apabila kita tutup buku tentang KL 2017, kita perlu beri tumpuan bagi cabaran yang lebih hebat pada tahun depan iaitu Sukan Asia dan Sukan Komanwel.
“Sukan SEA penting tetapi peringkat Asia Tenggara ini lebih kepada pelapis dan pendedahan kepada atlet muda. Menjelang Sukan Asia dan Komanwel, kita perlu membuat persiapan yang terbaik,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Apresiasi KL 2017 di sini, malam tadi.
Khairy berkata, komitmen tinggi semua pihak yang terlibat menjayakan penganjuran KL 2017 dalam pelbagai urusan termasuk pengangkutan, kebudayaan dan kesenian, media cetak, logistik, pemasaran dan penajaan, perubatan, keselamatan, sukarelawan dan sebagainya, amat dihargai.
Katanya, Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA (MASOC), penaja dan agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan berperanan penting dalam memastikan penganjuran KL 2017 berakhir dengan penuh gilang gemilang.
Lebih membanggakan pencapaian Malaysia selaku juara keseluruhan Sukan SEA 2017 adalah kejayaan 231 atlet muda yang berjaya menyumbang 112 pingat emas sekali gus menunjukkan perkembangan prestasi terbaik untuk di ketengahkan di peringkat lebih tinggi, katanya.
Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan SEA edisi ke-29 itu dengan meraih 145 pingat emas. – MalaysiaGazette