Mayat Mohd Haniff Hassan, 34, ditemui pada 5.37 petang kira-kita lima meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.
KOTA BHARU – Seorang anggota Pasukan Gerakan Am ditemui mati lemas selepas keluar mencari kepah bersama dua rakannya di Sungai Pengkalan Datu, Kampung Pulau Belacan, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fakri Mazlan berkata mayat Mohd Haniff Hassan, 34, ditemui pada 5.37 petang kira-kita lima meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.

“Sebelum kejadian mangsa bersama rakannya itu mencari kepah secara berjalan di sungai tersebut pada 2.30 petang sebelum paras air pasang setinggi 0.5 meter.

“Menyedari keadaan itu, mangsa berenang ke darat yang hanya 15 meter dari jarak lokasi mencari kepah manakala rakannya masih meneruskan aktiviti tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun mangsa dilaporkan hilang daripada pandangan rakannya selepas tenggelam dalam arus sungai berkenaan.

Katanya pihak bomba menerima panggilan pada 4.22 petang sebelum mengerahkan 14 anggota ke lokasi kejadian termasuk empat anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) untuk menyelamatkan mangsa.

“Mayat mangsa ditemui sejam selepas operasi mencari dimulakan dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini sebelum dituntut anggota keluarga arwah,” katanya.

Sementara itu, rakan mangsa Mohd Noor Jaafar, 42, berkata dia mendengar mangsa memanggil namanya sebanyak dua kali sebelum hilang daripada pandangan.

“Selepas itu saya dan anak saudara cuba mencari mangsa namun gagal menemuinya menyebabkan kami mendapatkan bantuan orang kampung selain menghubungi pihak bomba,” katanya.

— BERNAMA