KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengenalpasti langkah bersesuaian bagi mengurangkan impak kenaikan harga minyak jika harga RON95 dan diesel melebihi RM2.50 seliter secara berterusan selama tiga bulan.

Menurut Kementerian Kewangan, langkah yang diambil itu akan memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga minyak dunia dan kadar inflasi terkawal dalam jangka sederhana dan panjang.

“Kerajaan prihatin dan memahami kesan kenaikan harga minyak di pasaran dunia yang kini telah mencecah AS$60 seorang.

“Pada masa ini kerajaan telah melaksanakan langkah rasionalisasi subsidi produk petroleum mengikut trend kenaikan atau penurunan harga minyak mentah dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Kementerian Kewangan, langkah itu telah berjaya mengurangkan ketirisan dan memastikan pemberian subsidi yang bersasar.

Tambahnya, penetapan harga runcit RON95 dan diesel dilaksanakan dengan mengambil kira harga pasaran minyak mentah dunia dan kadar tukaran wang asing.

“Mekanisme penetapan adalah secara mingguan di mana purata perubahan kos produk petroleum minggu sebelumnya akan menentukan harga bagi minggu berikutnya.

“Sekiranya harga minyak mentah dunia naik maka harga runcit produk petroleum turut naik, sebaliknya harga runcit akan berkurang jika harga minyak mentah dunia turun,” katanya.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, kerajaan masih memberi subsidi kepada sektor pengangkutan awam dan nelayan di samping minyak masak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast