KUALA LUMPUR – Pas Kelantan belum dapat menarik nafas lega untuk mendapat hak mutlak bangunan Wisma Tok Guru di Kampung Pendek, dekat Kota Bharu, walaupun keputusan mahkamah pada dasarnya memihak kepada parti itu.
Ini kerana, tanah seluas dua lot yang menempatkan bangunan itu masih berstatus tanah pesaka yang dimiliki secara bersama oleh adik beradik kepada pemegangnya, Allahyarham Datuk Rusli Ibrahim.
Bagaimanapun, isteri Allahyarham Rusli iaitu Datin Saripah Dollah telah menjual tanah itu kepada Setiausaha Kerja Pas Kelantan, Mohd Yasin Yusoff dengan nilai RM700,000, dipercayai tanpa izin adik beradik iparnya.
Menurut penganalisis politik, Mohd Sayuti Omar, adik beradik Allahyarham Rusli telah memfailkan kes itu ke mahkamah Kota Bharu dan dikatakan akan didengari sebutan kes pada 4 Disember ini.
Katanya, apabila kes itu dibicarakan, ia akan menentukan apakah Pas Kelantan berhak atau sebaliknya ke atas bangunan Wisma Tok Guru yang didaftarkan atas nama pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor.
“Dengan kata lain, ADUN Salor, (Datuk) Husam (Musa) masih berkuasa ke atas bangunan itu, manakala Mohd Yasin secara mutlak hanya memiliki tanah itu sahaja,” katanya.
Pada 16 November lalu, Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak permohonan injunksi dikemukakan Husam terhadap pemilik tanah yang menempatkan bangunan Wisma Tok Guru.
Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Bache, selepas mengambil kira keterangan Husam selaku plaintif dan defendan, Moha Yasin melalui peguam masing-masing.
Dengan keputusan itu juga, Pas Kelantan menganjurkan program solat hajat di pekarangan Wisma Tok Guru tanpa mengusik bangunan berkenaan, memandangkan perbicaraan hak milik premis belum selesai.
Dalam perbicaraan itu nanti, mahkamah akan menentukan sama ada bangunan dan tanah itu menjadi milik mutlak Mohd Yasin atau satu keputusan dibuat supaya Setiausaha Kerja Pas itu perlu membayar sejumlah pampasan kepada Husam sebagai ganti rugi. – MalaysiaGazette