JOHOR BAHRU – Padah mengugut seorang wanita yang juga isteri orang untuk menyebarkan gambar separuh bogelnya, seorang duda ditahan polis di Alor Setar, Kedah Ahad lalu.
Tangkapan ke atas suspek yang berusia 40 tahun dan mempunyai dua orang anak serta bekerja sendiri itu dibuat pada 5 petang selepas mangsa membuat laporan di sini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, mangsa berusia 48 tahun berkenalan dengan suspek menerusi Facebook pada 6 November lalu sebelum mereka berjumpa 16 November lalu.
Menurutnya, suspek datang dari Kedah ke negeri ini dengan menaiki bas sebelum mangsa yang merupakan isteri orang dan tidak bekerja mengambil lelaki itu di terminal bas.
“Mereka kemudian menginap di sebuah hotel di Nusa Bestari, Skudai dan semasa berada di situ, mangsa mendakwa berada dalam keadaan separuh sedar dan hanya menuruti perintah suspek dan tidak tahu apa terjadi selepas itu.
“Keesokan harinya, selepas keluar hotel kira-kira pukul 12 tengahari, mereka berdua ke Singapura untuk berjalan-jalan sebelum mangsa menghantar suspek ke terminal bas untuk pulanh ke Kedah pada 12.20 tengah malam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pada hari sama iaitu 18 November, mangsa yang berada di rumahnya di Bukit Indah di sini menerima panggilan daripada suspek pada 4 petang yang meminta wang berjumlah RM5,000.
Tambahnya, sekiranya wang yanh diminta gagal dibayar, suspek mengugut akan memberitahu suami mangsa tentang pertemuan mereka dan mendedahkan gambar separuh bogel mangsa.
Noor Hashim berkata, hasil siasatan awal mendapati, modus operandi suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu adalah dengan berkenalan dengan mangsa melalui Facebook sebelum ajak berjumpa bagi tujuan pemerasan dan ugutan.
“Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut sehingga esok (23 November),” katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan (pemerasan) dan Seksyen 506 (ugutan jenayah) kanun yang sama. – MalaysiaGazette.