Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) bersama Menteri Perundangan dan Menteri Penasihat Perdana Menteri Australia, Michael Keenan (dua kanan), Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim (kiri) dan Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan Indonesia, General Wiranto (kanan) menunjukkan buku 'Terrorism Financing Regional Risk Assesment on Non-Profit Organisation' pada Majlis Perasmian The 3rd Counter-Terrorism Financing Summit 2017 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Malaysia berjaya memulihkan sebanyak 97 peratus pengganas yang ditahan menerusi modul deradikalisasi yang diperkenalkan oPolis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Penjara Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha untuk memerangi aktiviti keganasan tidak semestinya semata-mata memfokuskan langkah-langkah agresif tetapi juga perlu melihat kepada ‘pendekatan lembut’.

“Malaysia sentiasa menekankan kepentingan ‘pendekatan lembut’ dalam memerangi pengganas dan aktiviti pembiayaan keganasan, dimana ia memfokuskan kepada aspek pencegahan dan pemulihan.

“Operasi ini dijalankan menerusi Modul Deradikalisasi Bersepadu Orang Tahanan yang dikendalikan oleh pelbagai agensi, termasuk polis dan Jabatan Penjara,” kata beliau semasa ucaptama sidang 3rd Joint Regional Counter Terrorism Financing Summit di Bank Negara hari ini.

Sejak modul itu diperkenalkan pada tahun 2001, seramai 289 pengganas sudah menjalani program pemulihan tersebut sehingga tahun 2012.

“Ia (modul) mencapai tahap kejayaan 97 peratus dimana 282 individu berjaya dipulihkan daripada aktiviti keganasan,” katanya yang juga Menteri Dalam Negeri.

Selain bentuk modul pemulihan tersebut, Ahmad Zahid juga memberitahu, Malaysia turut mengetatkan kawasan sempadan negara memandangkan faktor geografi yang memudahkan untuk ditembusi dan juga menambahbaik pemeriksaan di pintu-pintu masuk negara.

“Diharapkan dengan pelaksanaan langkah ini, ia akan menghalang daripada pengganas menjadikan Malaysia sebagai tempat transit serta mencari penyokong disini,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette