KUALA LUMPUR – Juara Piala FAM musim ini, kelab Sime Darby FC (SDFCmelakukan kejutan apabila mengambil keputusan untuk menarik diri daripada saingan Liga Perdana musim depan.

Keputusan drastik itu diumumkan oleh kelab tersebut menerusi laman sesawangnya www.simedarbyfc.com.

Bagaimanapun, kelab itu mengesahkan mereka akan tetap bertanding dalam Liga Bola Sepak Bahagian Satu Kuala Lumpur yang bermula 7 Disember ini kerana merupakan ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Kelab berkenaan memaklumkan mereka akan memberi fokus kepada program pembangunan bola sepak bawah 12 tahun bermula Januari depan di Padang Latihan SDFC, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Tiada sebab dinyatakan kelab berkenaan mengenai punca mereka menarik diri namun ia dipercayai akibat peningkatan kos kewangan yang terpaksa ditanggung pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia setiap tahun.

Untuk rekod, SDFC atau lebih dikenali dengan panggilan ‘The Giant Killers’ mula mencipta nama setelah muncul juara Piala FAM pada 2010 sebelum layak beraksi dalam saingan Liga Perdana selama tiga tahun dari 2011-2013.

Pasukan berkenaan beraksi dalam Liga Super selama dua musim dari 2014-2015 sebelum turun ke Liga Perdana pada tahun 2016.

Pencapaian terbaik pasukan berkenaan adalah mara ke final Piala FA pada 2012 namun tewas 1-0 kepada Kelantan pada aksi final.

Mereka pernah dinobatkan sebagai kelab bola sepak terbaik pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan pada tahun yang sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast