KUANTAN – Keputusan Pahang menolak tawaran beraksi pada kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tahun depan dibuat selepas meneliti beberapa aspek seperti teknikal dan kewangan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Datuk Mohd. Johari Hussain berkata, ketetapan itu juga dibuat selepas perkara tersebut dirujuk kepada pihak yang berkepentingan dalam bola sepak Pahang.

“Kami melihat perkara ini sebagai tawaran yang baik, tetapi atas alasan seperti teknikal dan kewangan, kami terpaksa merujuk kepada pihak tertentu sebelum memberi keputusan itu,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Bernama melaporkan, Mohd Johari berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Andasura Rabu (PAS-Beserah) yang ingin tahu alasan di sebalik penolakan tawaran itu kerana menyifatkan perkara tersebut bercanggah dengan inisiatif kerajaan negeri.

Andasura berkata perkara itu bertentangan dengan ketetapan kerajaan negeri yang sebelum itu, menurut Mohd Johari sentiasa memberi peluang kepada atlet untuk berlatih di luar negara bagi meningkatkan prestasi mereka.

Dua hari lalu, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dalam kenyataan mengesahkan menolak tawaran menggantikan Kedah pada saingan Piala AFC, selepas Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) gagal melepasi syarat perlesenan dalam tempoh ditetapkan AFC.

Skuad Tok Gajah menyatakan mahu memberi tumpuan penuh pada saingan Liga Malaysia musim 2018 sebagai alasan penolakan tawaran itu.

Selain itu, Mohd Johari memaklumkan kerajaan negeri telah membelanjakan RM346,367 bagi sukan menembak dan RM85,536 untuk sukan silat bagi tempoh Januari hingga 15 Oktober lalu.

“Sukan menembak dan silat merupakan antara sukan yang memberi sumbangan besar kepada negeri dan kerajaan negeri telah merancang program strategik untuk mengekalkan dan meningkatkan prestasi sukan ini, khususnya pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak.

“Perancangan dilakukan dengan kerjasama Pesaka (Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia) Pahang dan Pasukan Menembak Negeri Pahang serta pembelian peralatan bermutu tinggi dan terkini kerana peralatan yang baik juga menyumbang kepada kemajuan sukan, khususnya sukan menembak” katanya.

Mohd Johari berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail (BN-Pulau Tawar) yang ingin tahu perancangan dan peruntukan untuk pembangunan kedua-dua sukan itu, yang disifatkannya sebagai ‘kekuatan’ Pahang.

Selain itu, Mohd Johari juga berkata Institut Sukan Negara cawangan Pahang dengan kerjasama Majlis Sukan Pahang juga melaksanakan program pencarian bakat dan program sukan berpotensi tinggi.

Program itu menyenaraikan enam sukan utama Pahang, iaitu menembak, memanah, pencak silat, olahraga, angkat berat dan berbasikal namun masih tidak meninggalkan sukan-sukan lain, katanya. – MalaysiaGazette