KUALA LUMPUR – Keadaan dunia akademik semasa mengubah persepsi ibu bapa dan pelajar berdepan cabaran dalam usaha mengejar skor cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Disebalik segala cabaran itu, seorang pelajar cacat, Mustapha Rosli, 12, membuktikan kecemerlangannya mendapat skor 4A dan 2B dalam keputusan UPSR 2017 yang diumumkan hari ini.
Mustapha yang juga pelajar Sekolah Kebangsaan Setiawangsa itu berkerusi roda kerana tidak dapat berjalan sejak berusia tiga tahun akibat penyakit otot mengecut pada kedua-dua kakinya.
“Di rumah emak akan membantu saya dalam subjek yang tidak faham dan di sekolah guru-guru akan membantu untuk subjek yang tidak faham. Jika saya tak dapat hadirkan diri atas masalah kesihatan, kawan-kawan dan cikgu membantu saya.
“Saya tidak sedih walaupun dapat B dalam dua subjek termasuk Bahasa Inggeris kerana ini pun sudah cukup membanggakan dan akan menjadi penanda aras untuk skor lebih baik di sekolah menengah nanti,” kata ketika ditemui Malaysia Gazette hari ini.
Menurut Mustapha, ibunya, Mastura Omar, 44, yang juga sebagai guru banyak membantunya sepanjang masa dan kejayaannya itu menguatkan lagi semangatnya untuk menjadi seorang jurutera pada masa depan.
Bagi Mastura, Mustapha mempunyai penyakit sejak lahir dan hanya dapat dikesan tidak dapat berjalan sepenuhnya ketiga berusia sembilan tahun.
“Saya mendapatkan pakar fisio sehingga hari ini untuk mencari sebarang peluang untuk dia pulih secara berperingkat walaupun tidak dapat memastikan jangka masanya.
“Dia seorang pemalu tetapi tidak beremosi seperti budak lain, sebab itu dia tenang walaupun mendapat keputusan terbaik kali ini.
“Sewaktu persediaan untuk ujian UPSR dia banyak terlepas kelas dan bengkel peperiksaan tetapi kerjasama guru-guru lain dengan minatnya dalam subjek sains membantu menghadapi ujian dengan berjaya, dan saya bangga dengannya,” tegasnya sambil menjelaskan sedang mencari sekolah menengah yang sesuai untuk anak bongsu itu selepas ini.
Suasana pengambilan slip keputusan UPSR di Sekolah Kebangsaan Setiawangsa dibuat dalam keadaan sederhana berbanding tahun-tahun sebelum ini apabila keputusan murid cemerlang kebiasaannya diumumkan oleh Guru Besar di Dewan dan diraikan.
Kali ini guru kelas tahun enam mengedarkan slip keputusan UPSR kepada seramai 347 calon yang menduduki peperiksaan itu kali ini di kelas masing-masing sebelum murid-murid berkongsi kejayaan bersama ibu bapa mereka.
Sementara itu Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah yang sama, Shahpandi Abdul Manan pula berkata, pihak sekolah dan ibu bapa berpuas hati dengan pencapaian murid sekolah kali ini yang menunjukkan sedikit peningkatan berbanding tahun lalu.
“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada semua guru-guru dan ibu bapa yang komited dalam setiap program akademik yang disusun sekolah sepanjang tahun ini menerusi kumpulan WhatsApp khas yang diwujudkan.
“Segala kerjasama membuahkan hasil dan harap prestasi ini dapat terus dipertingkatkan pada tahun-tahun akan datang,” ujarnya. – MalaysiaGazette