Tan Sri Muhammad Taib bercakap pada sidang media bersama beliau di Banggunan UMNO Selangor, Shah Alam. foto SAFWAN MANSOR, 24 NOVEMBER 2017.

SHAH ALAM – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor tidak berbuat apa-apa dalam tempoh sembilan tahun pemerintahannya sejak 2008, kata mantan Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.

Beliau berkata, ini berbeza sepanjang tempoh pemerintahan Barisan Nasional (BN) Selangor yang membina banyak rumah mampu milik untuk rakyat miskin dan berpendapatan rendah melalui Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Ujarnya, menteri-menteri besar UMNO dan BN Selangor termasuk beliau menggunakan sepenuhnya anak syarikat kerajaan negeri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang bertanggungjawab membina rumah mampu milik sehingga Shah Alah terkenal sebagai bandar raya Melayu.

“Sebaik PH mengambil alih, mereka tarik balik tanggungjawab itu dan sejak itu tidak ada lagi rumah-rumah murah dan mampu milik dibina. Yang ada hanya janji kosong serta pembinaan rumah mampu tengok.

“Sebab itu kalau kita rajin berjalan di sekitar bandar raya ini, identiti Melayu sudah hilang kerana orang Melayu tidak lagi mampu membeli rumah berharga RM400,000 ke atas,” katanya pada majlis Mesra Bersama Media di Bangunan UMNO Negeri di sini, hari ini.

Muhammad turut menempelak PH sebagai kerajaan negeri yang tidak berbuat apa-apa untuk kemajuan negeri dan rakyatnya.

Katanya, semua yang ada di Selangor adalah hasil UMNO dan BN ketika memerintah sebelum ini seperti masjid, sekolah, hospital dan jalan raya.

“Cuba senarai satu yang kerajaan PH buat. Tidak ada apa-apa. Mereka tidak ada agenda. Mereka ibarat lembu punya susu, sapi dapat nama,” ujarnya.

Mengenai Transformasi Nasional 2050 (TN50), beliau mempersoalkan sejauhmana pemimpin UMNO membuat persiapan ke arah itu.

Ini kerana katanya, anak yang lahir hari ini akan berusia 30 tahun pada 2050 dan ketika itu masyarakat generasi baharu sepatutnya ditanamkan dengan segala kebaikan yang dilakukan oleh UMNO.

“Tetapi apa persiapan yang kita lakukan? Pemimpin UMNO sekarang, sudah siap sediakah? Banyak persoalan yang perlu dijawab oleh kepimpinan parti untuk hadapi TN50,” katanya sambil menyifatkan apa yang dirancangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu adalah antara yang terbaik untuk rakyat negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast