Gambar hiasan

 

KOTA BHARU – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan hari ini melancarkan aplikasi, KelGov JPS bagi membantu orang ramai mendapatkan maklumat tepat mengenai banjir di negeri ini.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Kamal Mustapha berkata, aplikasi percuma itu boleh dimuat turun melalui telefon bimbit yang menggunakan sistem ios atau android.

Beliau berkata, orang ramai akan mendapat data yang tepat mengenai taburan hujan dan situasi terkini paras air sungai di seluruh negeri ini pada setiap jam bagi membantu mereka membuat persedian untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Jangan hanya dengar khabar angin tular, atau dengar cakap-cakap orang kampung sahaja, teliti data yang kita sediakan menerusi KelGov JPS dan nilaikan sendiri keadaan tersebut.

“Sebagai contoh, taburan hujan mencecah 100 mm iaitu sangat lebat, manakala hari ini paras air sungai naik melebihi paras bahaya 9 meter. Maknanya, kalau rumah anda di kawasan rendah, bersiap sedialah berdepan dengan banjir,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas perasmian Karnival JPS Kelantan 2017 dan pelancaran KelGov JPS yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Faudzi Che Mamat, di sini hari ini.

Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di negeri ini yang dipindahkan meningkat kepada 747 orang di pusat pemindahan di daerah ini, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai, Pasir Mas dan Pasir Puteh. – MalaysiaGazette