Sebuah kapal berlabuh di pelabuhan Hodeida, Yemen.

SANAA – Sebuah kapal yang membawa bantuan bekalan makanan berlabuh Saleef di barat Yemen yang dikuasai pemberontak semalam, kata pegawai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Ia merupakan penghantaran pertama dalam tempoh tiga minggu.

Jurucakap Program Makanan Dunia (WFP) untuk wilayah Timur Tengah dan Afrika Utara, Abeer Etefa berkata, sebanyak 25,000 tan gandum akan dipunggah hari ini.

Beliau berkata, ‘angin kuat’ menghalang kerja pemunggahan dilakukan semalam, lapor AFP.

Pelabuhan Saleef yang terletak kira-kira 70 kilometer utara pelabuhan utama, Hodeida di Laut Merah juga dikuasai pemberontak.

Pelabuhan Hodeida merupakan saluran utama untuk PBB menyelia penghantaran bekalan makanan dan perubatan dan ia penting kepada usaha pertubuhan yang mendekati majoriti penduduk yang memerlukan bantuan itu.

Pada awal bulan ini, pakatan diketuai Arab Saudi yang memerangi puak pemberontak, Huthi melakukan sekatan terhadap pelabuhan dan lapangan terbang Yemen sebagai tindak balas ke atas tindakan Huthi melancarkan peluru berpandu namun dipintas berhampiran lapangan terbang Riyadh.

Pada Jumaat lalu, pejabat hal elwal kemanusiaan PBB berkata, pihaknya telah mendapat kebenaran oleh pakatan yang telah bertempur dengan pemberontak itu sejak 2015 untuk meneruskan penerbangan ke Sanaa.

Bagaimanapun, ia menambah, penghantaran bekalan makanan dan perubatan yang sangat diperlukan ke Hodeida masih disekat.

Semalam, sebuah kapal berlabuh di Hodeida namun Etefa berkata, kapal itu bukan milik agensi bantuan PBB dan ia mungkin kapal ‘komersial’.

Timbalan ketua pelabuhan Hodeida, Yahya Sharafeddine mengesahkan kepada AFP menerusi panggilan telefon bahawa ia adalah kapal ‘komersial’ yang tidak mempunyai kaitan dengan WFP.

“Kapal di Hodeida adalah untuk pedagang. Kapal di Saleef ialah (milik) WFP,” katanya.

Para pegawai PBB telah memberi amaran bahawa Yemen mungkin menghadapi krisis kebuluran terburuk dunia dalam berdekad-dekad kecuali sekatan ditarik balik oleh pakatan itu.

Sebuah pesawat PBB yang membawa bekalan vaksin mendarat di ibu negara, Sanaa yang dikuasai puak pemberontak pada Sabtu lalu apabila pakatan itu menarik balik sebahagian sekatan yang dikenakan selepas menerima amaran bahawa beribu-ribu orang akan mati.

Peperangan menyaksikan kira-kira 8,600 orang terbunuh manakala 2,000 orang lagi mati akibat kolera. – Agensi