Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Isi kandungan ucapan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berkaitan Universiti Teknologi Mara (UiTM) merupakan sebahagian daripada sejarah dan tidak boleh dinafikan.

Ini kerana, menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar,  penubuhan UiITM yang dahulu dikenali sebagai ITM bertujuan memberi peluang kepada pelajar-pelajar Melayu yang gagal memasuki universiti awam atas beberapa faktor termasuk kemiskinan, dan pencapaian akademik yang kurang memuaskan.

Sehubungan itu beliau mengingatkan semua pihak agar tidak mudah mengecam sesuatu perkara tanpa menyelidik terlebih dahulu.

“Ini yang saya maksudkan bahawa kita cepat sangat buat kecaman. Setiausaha agung (Tengku Adnan) sudah memohon maaf, beliau juga sudah menjelaskan bahawa konteks kenyataan itu adalah berbeza daripada apa yang (jadi) tanggapan orang ramai.

“Apa yang dia sebut adalah sejarah. Takkanlah Tengku Adnan tak tahu sejarah. Dia sendiri kalau tak silap saya produk ITM juga.

“Kita kena akui bahawa apabila ITM ditubuhkan, antara tujuannya adalah untuk memberi tempat kepada pelajar yang miskin, pelajar-pelajar yang mungkin tidak sampai tahap kecermelangan mereka di waktu sekolah,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, dengan adanya UiTM pelajar-pelajar yang tidak cemerlang di peringkat sekolah tetap dapat masuk ke institusi pengajian tersebut.

“Apa yang Tengku Adnan cakap itu adalah idea dasar UMNO supaya kita dapat memberi tempat kepada anak-anak Melayu ini yang mungkin tidak layak ke universiti, untuk ke ITM,” katanya.

Khairy mengingatkan sekali lagi kepada semua pihak agar berhenti daripada memberi gambaran yang salah terhadap maksud sebenar yang disampaikan oleh Tengku Adnan sebelum ini.

Terdahulu, Tengku Adnan menerima pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak setelah mengingatkan pelajar-pelajar negara ini agar mengenang kembali jasa-jasa kerajaan yang menyediakan pelbagai institusi pendidikan kepada rakyat.

Dalam ucapannya di PWTC di Majlis Nadi Negara 2017 Ahad lepas bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi apabila mengaitkan ITM dengan pelajar-pelajar yang lemah atau ‘slow learner’.

Tengku Adnan bagaimanapun membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh warga UiTM, yang terasa dengan ucapan tersebut. – MalaysiaGazette