Home Dunia Lapangan terbang Bali ditutup sehingga esok

Lapangan terbang Bali ditutup sehingga esok

Gunung Agung yang meletus sejak awal minggu ini telah menjejaskan pergerakan pelancong berikutan penutupan lapangan terbang. foto Agensi

KARANGASEM – Asap tebal daripada letusan gunung berapi Gunung Agung menyebabkan Lapangan Terbang Bali ditutup untuk hari ketiga.

Letusan itu menyebabkan pemindahan manusia dilakukan secara besar-besaran.

Melalui Twitter, Jurucakap lapangan terbang berkata, Lapangan Terbang I Gusti Ngurah Rai akan ditutup dari 29 November hingga 30 November.

Beribu-ribu penduduk yang tinggal berhampiran Gunung Agung telah keluar daripada kediaman masing-masing selepas pakar-pakar meningkatkan tahap amaran maksimum tentang letusan yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Ruang udara telah diliputi asap tebal dan ia bahaya untuk penerbangan,” kata Wisnu Darjono dari agensi trafik udara, AirNav, yang merujuk kepada rangkaian pakar global yang menyediakan informasi berkaitan gunung berapi.

Seramai 40,000 orang telah meninggalkan rumah mereka yang terletak di zon bahaya tetapi sebanyak 100,000 mungkin terpaksa diusir daripada penempatan mereka, kata pegawai agensi bencana itu.

“Abu gunung berapi masih memuntahkan laharnya. Ia tebal dan naik sangat tinggi – sehingga tiga atau empat kilometer dari kawah,” kata I Gede Suantika, seorang pegawai di agensi vulkanologi Indonesia.

“Aktiviti di Gunung Agung masih sangat tinggi, namun ia masih berada di tahap amaran tertinggi,” katanya.

Zon pengecualian di sekitar Gunung Agung, yang terletak sejauh 75 kilometer dari pusat pelancongan di tepi pantai Kuta, juga telah diperluaskan hingga 10 kilometer.

Sehingga semalam, sebanyak 443 penerbangan telah dibatalkan, menjejaskan lebih daripada 120,000 penumpang di Bali, destinasi percutian teratas yang menarik berjuta-juta pelancong asing setiap tahun. – MalaysiaGazette