Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan meminta projek-projek bernilai RM1 juta di bandar-bandar utama dibenarkan untuk dijalankan semula.

Menurutnya, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

TheEdgeMarkets melaporkan Johari sebagai berkata, kebenaran untuk melaksanakan projek-projek hartanah bernilai melebihi RM1 juta itu akan dibuat berdasarkan kes-kes tertentu, seperti projek di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.

Bercakap pada majlis makan malam anjuran Persatuan Pembangunan Hartanah dan Perumahan (REDHA) malam tadi, pemaju-pemaju hartanah telah merayu kepada kerajaan, dengan alasan kos tanah di bandar-bandar utama ini terlalu tinggi.

Johari menjelaskan, pembekuan sementara pembinaan hartanah bernilai RM1 juta untuk menangani pemaju-pemaju hartanah yang mencari untung cepat.

“Segelintir syarikat-syarikat ini tidak serius sebagai pemaju perumahan,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, ada syarikat yang menjalankan perniagaan yang berkaitan dengan industri lain tetapi membeli tanah dan meneroka peluang dalam pembangunan hartanah untuk mengaut keuntungan.

Syarikat-syarikat seumpama itu boleh ‘membunuh’ pemaju yang serius, tambah Johari,

Sebelum ini Johari berkata, mulai 1 November lalu, kerajaan akan membekukan projek-projek pembinaan hartanah bernilai RM1 juta selepas Bank Negara Malaysia melahirkan kebimbangan mengenai lebihan hartanah.

Ia membabitkan hartanah kediaman, peruncitan, pejabat dan pusat beli-belah.

Bagaimanapun, pembekuan itu tidak termasuk projek perumahan mampu milik. – MalaysiaGazette