Home Dunia AS, Pyongyang kembali tegang

AS, Pyongyang kembali tegang

Orang ramai menonton pelancaran ICBM oleh Korea Utara awal pagi tadi. foto Reuters

NEW YORK – Amerika Syarikat menggesa dunia memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Korea Utara, susulan pelancaran peluru berpandu antara benua (ICBM) semalam.

Bercakap kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, wakil Amerika Syarikat, Nikki Haley berkata, Presiden Donald Trump telah meminta China memotong bekalan minyak kepada Pyongyang.

Katanya, Amerika Syarikat tidak mencari konflik tetapi rejim Korea Utara akan “dimusnahkan sepenuhnya” sekiranya perang meletus.

Korea Utara berkata, peluru berpandu ICBM yang dibedil semalam telah melepasi ketinggian 4,475 kilometer (2,780 batu) lebih 10 kali ketinggian Stesen Angkasa Antarabangsa.

Pelancaran peluru berpandu Hwasong-15 itu berupaya mencecah seluruh bahagian Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, dakwaan Pyongyang itu tidak dibuktikan dan pakar-pakar ragu-ragu dengan keupayaannya untuk menguasai teknologi tersebut.

Bagaimanapun, pemimpin Korea Utara Kim Jong-un menyifatkan pelancaran itu “sempurna dan penembusan”.

Haley turut memberi amaran tindakan pencerobohan berterusan hanya menyebabkan ketidakstabilan di rantau itu.

Sementara itu, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov berkata, sekatan yang dikenakan memburukkan keadaan.

“Orang Amerika perlu menjelaskan kepada kita semua apa yang mereka cuba lakukan – jika mereka ingin mencari alasan untuk memusnahkan Korea Utara, mereka perlu menjelaskan dan kepimpinan Amerika perlu mengesahkannya,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu Duta Besar Rusia berkata, Korea Utara harus menghentikan ujian peluru berpandu dan nuklearnya tetapi juga menggesa Washington untuk membatalkan latihan ketenteraan dengan Korea Selatan yang dirancang pada Disember kerana ia akan “membakar keadaan yang sudah meletup”.

China juga mencadangkan Korea Utara harus menghentikan ujian sebagai balasan untuk menghentikan latihan ketenteraan Amerika Syarikat.

Tetapi cadangan itu pernah ditolak Washington. – MalaysiaGazette