Cheah Kah Peng

PULAU PINANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Kebun Bunga, Cheah Kah Peng menyifatkan dakwaan pestasinya sebagai wakil rakyat yang lemah sehingga dihalang mengurus bantuan banjir sebagai cubaan mengalih isu sebenar yang dihadapi penduduk negeri ini.

Sedangkan, menurutnya, beliau ketika ini sedang sibuk membantu penduduk khususnya di kawasan yang diwakilinya untuk bangkit dan pulih semula daripada bencana banjir besar yang dialami mereka 5 November lalu.

Selain itu, katanya, beliau kini juga sedang menyelesaikan beberapa isu berbangkit ekoran kejadian tanah runtuh yang menjejaskan laluan keretapi ke puncak Bukit Bendera serta tragedi sama yang mengorbankan 11 nyawa di Tanjung Bungah baru-baru ini.

Dalam masa sama, jelasnya, beliau turut membantu mangsa-mangsa banjir di beberapa kawasan lain seperti di Farlim; Paya Terubong dan Sungai Pinang yang turut terjejas teruk ekoran bencana banjir besar baru-baru ini.

“Saya tidak dapat menerima  spekulasi berkenaan percubaan ahli-ahli politik tertentu yang cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada isu banjir yang sedang dihadapi mereka.

“Marilah kita memberi tumpuan kepada menyelesaikan masalah banjir dan tanah runtuh, bukannya mengalih perhatian penduduk Pulau Pinang daripada isu sebenar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan portal berita portal propembangkang yang memetik Ketua Menteri, Lim Guan Eng sebagai berkata, Kah Peng dihalang daripada mengurus bantuan banjir RM700 kepada penduduk di kawasannya kerana prestasinya sebagai wakil rakyat yang lemah.

Sebelum ini, Guan Eng mendakwa sekatan itu disebabkan perubahan prosedur dan tempat Kah Peng digantikan oleh ADUN DAP Pulau Tikus, Yap Soo Huey.

Bagaimanapun, tindakan menyekat Kah Peng daripada menjalankan tanggungjawabnya itu mengundang rasa tidak puas hati pemimpin PKR Pulau Pinang yang menyifatkannya sebagai menafikan demokrasi rakyat yang memilih Kah Peng sebagai wakil mereka.

Kah Peng sebelum ini dikenali sebagai antara wakil rakyat kerajaan negeri yang berhaluan kiri kerana sering mengkritik Kerajaan DAP Pulau Pinang terutama ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN). – MalaysiaGazette