Noh (tengah) bersama Ali dan ahli-ahli NGO pada pertemuan di Shah Alam baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Ali Tinju mendakwa Tan Sri Noh Omar tidak menepati janji dan tidak membantu NGO yang pro Barisan Nasional di Selangor.

Presiden NGO No.1 Negara itu mendakwa, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu sebagai ‘lidah bercabang’.

Menurutnya, beberapa hari lepas, beliau dan ahli-ahli NGO ada mengadakan pertemuan dengan Noh yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor.

Dalam pertemuan itu, Noh didakwa ada menjanjikan bantuan kepada pihaknya untuk membantu kempen Barisan Nasional (BN) Selangor.

Bagaimanapun, Ali Tinju atau nama sebenarnya Mohd. Ali Baharom mendakwa Noh telah mengingkari janji dengan mahu melewatkan bantuan berkenaan.

Sikap menabur janji tapi tidak ditepati kepada NGO sebelum ini, katanya, punca kekalahan Selangor dalam PRU-13.

Sebelum itu, berlaku ‘perang’ Ali dengan Noh melalui SMS dan kedua-dua mengeluarkan ayat yang menghina sesama sendiri.

“Jika tidak mohon maaf secara terbuka kepada saya, tindakan undang-undang akan dibuat sebab Tan Sri Noh menghina dan fitnah saya dlm hantar SMS semalam,” ujarnya dalam media sosialnya.

Difahamkan, Noh mahu menangguhkan bantuan kepada NGO terbabit kerana telah membelanjakan peruntukan yang lebih penting iaitu penganjuran Konvensyen UMNO Selangor.- MalaysiaGazette