S. Subramaniam

KUALA LUMPUR – Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) yang akan menawarkan vaksin halal pada harga berpatutan diyakini mampu menukar persepsi kumpulan anti vaksin yang meragui status halal vaksin sedia ada.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, vaksin halal itu akan dibangunkan dan berada di pasaran seawal 2020 dan selewatnya 2022.

Katanya, jalinan kerjasama antara Pharmaniaga, Technology Dipository Agency (TDA) dan Hileman Laboratories (Hilleman Labs) dalam program pembangunan vaksin halal akan melibatkan pelaburan sebanyak RM100 juta.

“Dengan adanya vaksin halal ini kita jangkakan bilangan yang menolak vaksin akan berkurang. Selain meragui status halal, terdapat beberapa faktor lain seperti pengaruh luar yang menyebabkan masyarakat menolak vaksin.

“Vaksin halal ini akan dihasilkan melalui proses penyelidikan, ujikaji yang tepat dan terperinci sebelum dipasarkan dalam jangka masa lima tahun lagi,” katanya pada sidang media di ibu negara hari ini.

Terdahulu beliau telah menyaksikan majlis pemeteraian memorandum kolaborasi antara tiga syarikat tersebut.

Dibawah memorandum itu, Pharmaniaga TDA dan Hilleman Labs akan bekerjaasama untuk menyelaras usaha membangun dan menghasilkan vaksin yang boleh digunakan dalam Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP) dan Hilleman Lab akan menyediakan pengetahuan dan teknologi vaksin.

Ketika ini, lebih 95 peratus rakyat Malaysia menerima vaksin dan mereka yang menentang penggunaannya kerana mempersoalkan status halal.

“Kali ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memainkan peranan dalam memastikan vaksin halal yang akan dihasilkan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan jabatan itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pharmaniaga, Farshila Emran berkata, sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan(GLC), pihaknya berusaha menyediakan produk farmaseutikal pada harga yang berpatutan secara konsisten dan kerjasama pembangunan vaksin ini adalah antara inisiatif tersebut. – MalaysiaGazette