Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memegang placard Kempen Perangi FItnah Media Sosial pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Pelancaran Kempen Perangi Fitnah Media Sosial di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 06 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Dalam mendepani trend penyebaran fitnah yang semakin berleluasa, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan kempen ‘Perangi Fitnah Media Sosial’.

Kempen di bawah Biro IT UMNO itu digerakkan bagi menyedarkan masyarakat tentang kesan-kesan penularan berita palsu terhadap sosial, ekonomi dan keselamatan negara.

Hadir sama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Bendahari UMNO yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Datuk Idris Jusoh.

Menurut Pengerusi Biro IT UMNO, Datuk Ahmad Maslan, aduan penyalahgunaan media sosial kian meningkat dalam masa lima tahun sebelum ini.

Malah sehingga September tahun ini, sejumlah 4,702 kes telah dicatatkan berlaku tahun ini.

“Pada tahun 2013 sebanyak 2, 189 kes telah dilaporkan dan meningkat kepada 2,536 kes pada tahun 2014.

“Pada tahun 2015 juga meningkat sebanyak 77 kes berbanding sebelumnya kepada 2,613 kes.

“Peningkatan mendadak sebanyak 2, 193 berlaku pada tahun 2016 iaitu meningkat 84 peratus menjadi keseluruhan pada tahun tersebut hampir sekali ganda kepada 4.808 kes,” katanya pada majlis pelancaran itu.

Malah masyarakat turut digesa agar tidak mudah berkongsi maklumat tidak sahih apabila menerima sesuatu berita.

Penjenayah yang didakwa dengan jenayah fitnah ini boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. -MalaysiaGazette.