Home Nasional Tidak patut kenakan caj guna tandas di stesen minyak – FOMCA

Tidak patut kenakan caj guna tandas di stesen minyak – FOMCA

KUALA LUMPUR- Tindakan perlu dikenakan kepada stesen minyak Shell Pulau Kambing di Kuala Terengganu kerana mengenakan caj sebanyak RM0.50 kepada pelanggan yang ingin menggunakan tandas di premis tersebut.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Yusof Abdul Rahman berkata, ini kerana langkah tersebut berkemungkinan besar diikuti stesen minyak yang lain.

“Kalau caj itu tidak warjar. KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu mengambil tindakan kepada stesen minyak ini.

“Ia sudah tentu akan jadi ikutan stesen minyak yang lain kalau tiada tindakan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi.

Terdahulu Yusof diminta mengulas mengenai isu jualan kupon untuk penggunaan tandas di sebuah stesen minyak di Terengganu baru-baru ini.

Mengulas lanjut, penyediaan tandas dan surau bagi mana-mana stesen minyak sepatutnya dijadikan nilai tambah khususnya dalam peningkatan imej dan prestasi yang boleh dimanfaatkan premis perniagaan terbabit kerana memberikan kepuasan kepada pelanggan mereka.

“Tandas itu satu nilai tambah yang sepatutnya disediakan stesen minyak, atau surau itu syarat yang telah ditetapkan sama ada KPDNKK atau PBT yang meluluskan lesen premis,” tambahnya.

Justeru beliau berpendapat sama ada tandas itu ‘bertaraf lima bintang’ atau sebaliknya, ia tidak wajar untuk dikenakan caj.

MStar Online pada Jumaat lalu melaporkan, seorang lelaki mendakwa terpaksa membeli kupon ketika ingin menggunakan bilik air di sebuah stesen minyak.

Situasi janggal itu kemudiannya mengundang pelbagai reaksi netizen pada laman Facebook. – MalaysiaGazette

Situasi janggal itu kemudiannya mengundang pelbagai reaksi netizen di laman Facebook.