Wakil Semporna, Sabah, Datuk Ramlee Marahaban menyampaikan usul pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto MALAYSIA GAZETTE, 07 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Perwakilan Sabah, Datuk Ramlee Marahaban berkata, Negeri Di Bawah Bayu itu kerugian apabila satu-satunya Naib Presiden dari negeri itu berpaling tadah kepada parti lain.

Beliau merujuk kepada Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang kini Presiden Warisan.

Menurutnya, rakyat Sabah tidak pernah mimpi untuk mendapatkan salah satu kerusi nombor tiga parti itu namun peluang itu disia-siakan apabila individu terbabit bertindak keluar parti.

“Ada orang itu diberikan peluang untuk jadi Naib Presiden. Tidak pernah mimpi orang Sabah boleh jadi jawatan Naib Presiden. Tidak cukup dengan itu, (beliau) pernah jaga kementerian paling strategik untuk rakyat Sabah.

“Tapi sayang bukan sekadar gigit, tapi dia tikam belakang,” katanya dalam sesi perbahasan Dasar Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Ramlee dipercayai merujuk kepada bekas Naib Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal yang kini membentuk parti baharu, Parti Warisan Sabah (Warisan) sebagai salah satu parti pembangkang di negeri itu.

Ahli Parlimen Semporna itu bertindak keluar UMNO apabila digantung keahliannya pada 24 Jun 2016.

“Main belakang memang bahaya. Ini merugikan bangsa, parti dan negara kita. Tidak cukup dengan itu, sekarang dia melalak bukit tapi tidak pula bukit runtuh,” katanya.

Katanya lagi, UMNO tidak rugi dengan kehilangan pemimpin Sabah ini kerana ramai lagi pemimpin di negeri itu yang boleh diberikan tanggungjawab untuk memimpin Sabah.

“Kita tidak kisah dan mati dengan umpatan dan cacian. Kita lebih kenyang dengan pujian oleh rakyat yang menikmati pembangunan hasil dibawah kerajaan BN yang ditunjangi UMNO.

“Kita lupakan dia, kalau dia sudah memilih jalan dia sendiri, tetapi pesan saya dalam kesetiaan kepada parti, ini elemen yang penting. Kita tidak sanggup bersama-sama orang sebegini yang akan menjadi parti kita rosak dan penyebab kepada keruntuhan parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.