Ucapan penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 ke 71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. foto MALAYSIA GAZETTE, 09 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak menerima panggilan telefon daripada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menjemput beliau ke mesyuarat khas bagi membincangkan isu pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel kerana kehadiran Malaysia disifatkan sebagai amat penting.

Sehubungan itu, perdana menteri mengambil keputusan membatalkan pertemuan yang sepatutnya diadakan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada tarikh sama.

“Saya akan hadir persidangan khas di Istanbul pada 13 hari bulan ini, tiga hari lalu Presiden Erdogan telefon saya, dia minta saya hadir kerana suara Malaysia penting

“Kebetulan pada 13 dan 14 ini saya ada annual consultation dengan Perdana Menteri Singapura, saya telefon Perdana Menteri Singapura, saya kata perlu faham ini isu yang memberi kesan kepada kepercayaan saya sebagai muslim dan dan juga semua muslim,” kata beliau semasa berucap di penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2017 di PWTC hari ini.

Para perwakilan kemudian bangkit dari tempat duduk masing-masing dan memberi tepukan pujian kepada Najib dsmbil melaungkan Allahuakbar sebagai tanda sokongan kepada beliau.

Najib menegaskan, beliau tidak sanggup untuk melihat umat Islam ditekan dan berjanji akan menentang habis-habisan dalam isu melibatkan Baitulmaqdis.

“Saya tidak redha nasib umat Islam tertekan dalam apa jua apa keadaan takkan lah tanah suci yang ketiga martabatnya dalam Islam tergadai, terhina oleh orang lain.

“Saya nak beritahu kepada mereka, UMNO dan umat Islam Malaysia akan tentang habis-habisan, sampai bila-bila kita tak akan terima,” katanya lagi. – MalaysiaGazette