Kereta, pistol tiruan serta beberapa barangan lain yang dirampas daripada seorang suspek pembuli jalan raya yang ditahan polis IPD Johor Bahru Utara dengan kerja sama IPD Kluang di sebuah hotel di Kluang, Johor.

JOHOR BAHRU – Seorang pembuli jalan raya yang dipercayai terlibat menakut-nakutkan pengguna jalan raya di Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) pada Ahad, ditahan polis di sebuah hotel di Kluang tengah malam tadi.

Turut ditahan bersama suspek lelaki berusia 34 tahun itu ialah seorang lelaki rakyat tempatan dan seorang wanita rakyat Vietnam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd. Taib Ahmad berkata, ketiga-tiga mereka ditahan bersama sejumlah dadah dan pistol tiruan di sebuah bilik hotel di Kluang.

Mohd. Taib berkata, tangkapan ke atas suspek dibuat berhubung satu kejadian menghimpit sebuah kenderaan MPV dinaiki tiga lelaki lain secara  membahayakan di EDL kira-kira pada 8.30 pagi kelmarin.

Tambahnya, dalam kejadian itu, suspek disyaki telah turut turun dari kenderaannya dan menakut-nakutkan mangsa dengan alatan besi sebaik mangsa memberhentikan keretanya.

“Sebaik mangsa meneruskan pemanduan di Km 6.3 EDL, suspek sekali lagi menghimpit kenderaan mereka dan bertindak menakutkan  mangsa,” katanya siasatan awal mendapati, suspek juga mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.

Beliau berkata, kes yang disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara manakala rampasan dadah disiasat oleh IPD Kluang. – MalaysiaGazette