KUALA LUMPUR – Niat ramai netizen yang ingin melancarkan boikot terhadap McDonalds Malaysia baru-baru ini susulan engumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel ternyata mengundang kekecewaan Rangkaian restoran makanan segera terkemuka tersebut.

Pengarah Urusan Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd, Azmir Jaafar berkata, pihaknya tidak menyokong mahupun terlibat dalam sebarang konflik politik atau keagamaan di mana-mana negara di dunia.

“Sebagai rakyat Malaysia, kami memahami kekecewaan yang dirasai oleh umat Islam di seluruh dunia berhubung isu ini.

“Marilah kita bersatu dan menumpukan perhatian kepada perjuangan yang betul, dan mendoakan yang sebaiknya untuk mereka yang menerima kesan disebabkan perkembangan ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook baru-baru ini.

McDonald’s dilaporkan menerima tempias dengan tindakan Trump yang mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel kerana didakwa menyalurkan dana mereka untuk tujuan bantuan logistik.

Azmir dalam pada itu menangkis dakwaan McDonald’s menyalurkan dana kepada Israel dan menyifatkannya sebagai tuduhan yang tidak benar dan ia adalah fitnah terhadap mereka.

“Adalah penting untuk semua mengetahui bahawa perniagaan McDonald’s di Malaysia dikendalikan oleh Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd, dan syarikat ini 100 peratus milik tempatan serta pemegang saham terbesarnya beragama Islam.

“McDonald’s telah lama menjadi sebahagian daripada masyarakat, tanggungjawab sosial korporat amat kami titik beratkan dan lebih RM2.5juta telah dibelanjakan pada tahun ini sahaja untuk lebih 5,000 aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan turun padang dalam negara ini,” tambahnya.

Beliau turut memberi amaran kepada mana-mana pihak yang melemparkan fitnah terhadap McDonald dengan mengambil tindakan terhadap mereka. -MalaysiaGazette