Presiden Gabungan NGO 1Malaysia merangkap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos menunjukkan isyarat bagus ketika tiba untuk membuat laporan polis terhadap Zaid Ibrahim, Tun Mahathir Mohamad dan Tun Siti Hasmah Mohamad Ali yang didakwa menderhaka kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 13 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Rakyat tidak akan terdesak memilih Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, tegas Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos.

Beliau berkata demikian mengulas tentang kesediaan bekas Perdana Menteri yang berusia 93 tahun itu untuk kembali menyandang jawatan tersebut jika rakyat terdesak kerana tiada calon yang lebih layak darinya.

Sebaliknya menurut Jamal, individu-individu yang menyokong pencalonan Mahathir bagi jawatan tersebut khususnya dalam kalangan ahli Pakatan Harapan hanya mahu mengambil kesempatan terhadap kekayaan bekas pemimpin UMNO itu.

“Siapa kata rakyat terdesak? Rakyat yang terdesak yang dimaksudkan oleh PM itu adalah orang yang disekelilingnya yang ingin menghisap darah Tun M, yang Tun M telah dapat beberapa puluh tahun lebih. Jadi orang di sekelilingnya ingin cucuk-cucuk Tun M jadi Tun M tabur duit,” katanya selepas membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri itu, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan bekas Menteri, Datuk Zaid Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Jamal dalam masa yang sama menyifatkan Mahathir sebagai tidak bijak kerana mempercayai sokongan palsu yang diberikan oleh komponen gabungan parti pembangkang, khususnya DAP dalam menuju pilihan raya yang akan datang.

“Tun M ini sebenarnya manusia yang paling bodoh yang digunakan oleh DAP,” ujarnya.

Laporan sebelum ini menyatakan cadangan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri manakala Datuk Sri Wan Azizah sebagai Timbalannya dibuat menerusi permukiman Pakatan Harapan di Putrajaya dan hanya menunggu keputusan daripada Ketua Umum Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette