Presiden Gabungan NGO 1Malaysia merangkap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos menunjukkan laporan polis dan rukun negara selepas membuat laporan polis terhadap Zaid Ibrahim, Tun Mahathir Mohamad dan Tun Siti Hasmah Mohamad Ali yang didakwa menderhaka kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 13 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan bekas Menteri, Datuk Zaid Ibrahim perlu kembali ke darjah 1 bagi memahami tentang Rukun Negara yang perlu dipatuhi sebagai rakyat Malaysia.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos berkata, Tun M dan isterinya yang memulangkan semua darjah kebesaran yang dianugerahkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sarafuddin Idris Shah selain kekerapan Zaid yang sering mempertikaikan titah menunjukkan ketiga-ketiga mereka tidak hormat kepada baginda.

“Mereka ini perlu kembali duduk di sekolah darjah 1, duduk sekolah balik. Saya nak beritahu, Tun M jangan cakap pandai pusing satu Malaysia, masuk balik sekolah darjah 1.

“Belajar rukun negara begitu juga dengan Zaid Ibrahim balik darjah satu belajar erti rukun negara patuh dan taat kepada rukun negara barulah sepatutnya menjadi seorang pemimpin.

“Itulah mereka ini tidak memahami mungkin sudah terlupa, sudah terlalu tua dan terlupa erti rukun negara. Jadi kena kembali ke bangku sekolah,” katanya.

Jamal terdahulu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membuat laporan mengenai tindakan Mahathir dan isterinya serta Zaid yang disifatkannya sebagai menghina Sultan Selangor.

Jamal turut membawa buku latihan Sekolah Rendah Kebangsaan yang di belakangnya tertera Rukun Negara.

Baru-baru ini, Mahathir dan Siti Hasmah mengembalikan darjah kebesaran yang diterimanya selepas Sultan Sharafuddin murka terhadap gelaran Bugis sebagai lanun yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu.

Individu-individu ini, tambah Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia, sepatutnya lebih bijak daripada rakyat Malaysia yang lain dalam menghormati institusi Raja-raja kerana pernah berada dalam pentadbiran kerajaan untuk satu tempoh yang lama.

Beliau dalam masa yang sama mengharapkan tindakan undang-undang diambil ke atas bekas Perdana Menteri, isterinya dan Zaid yang juga ahli DAP.

“Jadi kita sebagai rakyat Malaysia perlu patuh kepada rukun negara. Jadi kalau orang lain ada satu kes di Johor dan di Perak yang tidak hormat mematuhi rukun negara diambil tindakan, dipenjara dan didenda

“Jadi kita sebagai rakyat Malaysia walaupun tidak berakal panjang, sebijak Zaid Ibrahim dan Tun M perlu mematuhi kerana daripada di bangku sekolah sehingga sekolah menengah inilah yang setiap hari kita pegang setiap hari kita baca,” katanya lagi,” katanya. – MalaysiaGazette