KUALA LUMPUR – Sokongan dan simpati orang ramai terhadap ‘Cikgu Azizan’ yang sedang berdepan tuduhan di mahkamah mencurah-curah, malah dalam satu undian yang dijalankan majoriti memilih menyokong cikgu yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai tersebut.

Setakat tinjauan 2.45 petang hari ini, seramai 111,720 orang mengundi dengan menyatakan sokongan dan mendoakan ‘Cikgu Azizan’ yang kes perbicaraan akan berlangsung pada esok.

Undian tersebut dijalankan dalam laman portal www.pendidik2u.com.

Sementara itu, pengguna laman media sosial juga dilihat menyatakan simpati dan sokongan mereka kepada guru tersebut, tidak kurang juga mereka yang mengkritik tindakan penjaga murid yang membawa kes tersebut ke mahkamah.

Seorang pengguna Facebook, Hajar Abdul Samad menulis di ruang komen: “Walaupun mak ayah pelajar itu menang sekalipun… Ingat lah keberkatan seorang guru telah hilang… Ilmu tanpa berkat memang tidak ke mana… Stay strong cikgu azizan… Bukan mudah nak memanusiakan manusia… Allah maha kaya.. #prayforcikguazizan”.

Selain itu, artikel berhubung kronologi kes ‘Cikgu Azizan’ juga dikongsi hampir 7,128 pengguna dalam Facebook dan beratus komen daripada orang ramai yang memberikan kata-kata semangat kepada guru tersebut.

Azizan merupakan penolong kanan Hal Ehwal Pelajar di sekolah tersebut.

Oktober lalu, beliau dihadapkan di mahkamah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas tuduhan memukul seorang pelajar. Jika disabit, Azizan boleh dihukum setahun penjara, denda RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Penyokong Azizan turut melancarkan kempen di media sosial dengan hashtag “PrayForCikguAzizan”.

Kempen itu turut menerima sokongan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang turut mengajak guru berhimpun di mahkamah esok, di samping menyediakan peguambela untuk Azizan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast