Hamim Samuri

KUALA LUMPUR – Rang Undang-undang (RUU) Sumber Air yang akan dicadangkan dasarnya di peringkat Dewan Negara kelak diharap akan dapat menjamin kualiti sumber air bebas, demikian kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri.

Katanya, RUU tersebut pada masa akan datang akan memberi garis panduan kepada seluruh negeri mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab jika berlaku pencemaran air.

“Pihak kementerian kita amat prihatin kualiti sumber air dan kita akan mencadangkan di dalam Dewan Negara RUU Sumber Air sebagai template, panduan kepada setiap negeri untuk diterima pakai bagi memastikan semua sumber air terpelihara dan sentiasa terjamin.

“Ia lebih penting daripada keselamatan bekalan makanan.

“Sekiranya RUU ini diterima pakai mudah bagi setiap kerajan negeri mengambil tindakan yang lebih pantas yang lebih serius terhadap semua jenis pencemaran air termasuk dari kilang haram dan tidak haram,” katanya ketika Persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Datuk Yahaya Mat Ghani @ Abbas berkenaan langkah yang spesifik untuk mengawal pencemaran daripada kilang.

Terdahulu RUU tersebut dirangka bagi menyelaraskan pengurusan air di seluruh negara sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya awal tahun 2018.

Dalam pada itu, Hamim memaklumkan bahawa sebuah kilang sawit di sempadan Jementah-Kebun Baharu yang sebelum ini dibantah kerana pencemaran bau kini sedang menjalani peningkatan kawalan pencemaran.- MalaysiaGazette