Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar (tengah) berucap semasa Majlis Sembang Santai PDM Bandar Tun Razak di Sungai Besi, Kuala Lumpur malam tadi.

KUALA LUMPUR – “Kita tak boleh lagi ikut kuota kerana hendak jaga hati ‘kawan-kawan’ komponen, PRU-14 kita mahu calon boleh menang.’

Itu tegas Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar mengenai desakan pengundi majoriti Melayu mahu calon UMNO mewakili parlimen di kawasan itu.

“Desakan dan permintaan (mahu calon UMNO) bukan lagi rahsia. Ia sudah berkumandang sekian lama.

“Gelombang mahu UMNO bertanding berterusan malah kami di Bahagian Bandar Tun Razak rasa berhak diberi peluang,” ujarnya kepada Malaysia Gazette.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sembang Santai Perdana bersama 25 Pusat Daerah Menggundi Bandar Tun Razak di sini malam tadi.

Menurut Rizalman, selama ini kerusi Parlimen diberi kepada MCA dan mereka sudah ditolak pengundi pada beberapa PRU lalu.

“Lagi pun, dalam keadaan sekarang BN sangat memerlukan kerusi parlimen (mencukupkan dua pertiga) dan calon winnable perlu diberi keutamaan,” ujarnya yang mahu pucuk pimpinan memberi ruang dan peluang kepada UMNO kali ini.

Menurut Rizalman, perkara itu bukan lagi rahsia kerana beliau sudah menyatakannya secara terbuka semasa Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak merasmikan mesyuarat bahagiannya tahun lepas.

Rizalman yang sudah ‘bekerja’ lebih 15 tahun dalam UMNO di kawasan itu mendakwa suara akar umbi kali ini perlu diberi pertimbangan sewajarnya dan beliau tidak akan ‘berkokok’ sekiranya mengetahui calon UMNO sukar menang kali ini.

“Saya pun tidak mahu membangkitkan perkara ini (mahu calon UMNO) sekiranya tinjauan mendapati ia tidak boleh menang tetapi kali ini ia amat tinggi,” kata anak jati Sungai Besi itu.

Apa yang penting, katanya, kemenangan BN pada PRU-14 akan dapat membantu tugas Perdana Menteri dalam usaha transformasi yang dilakukan dan percaya prinsip setiakawan dalam BN akan dapat dicapai dalam setiap perkara.

Terdahulu, Veteran UMNO Bandar Tun Razak juga menggesa pucuk pimpinan parti supaya meletakkan calon UMNO kali ini dan menamakan Rizalman sebagai individu paling layak.- MalaysiaGazette

Kami mahu calon UMNO di Parlimen BTR – Veteran

Comments are closed.