Henrikh Mkhitaryan.

MANCHESTER – Pengurus Manchester United mengesahkan Henrikh Mkhitaryan akan kembali beraksi menentang Bristol City dalam saingan Piala Liga pagi esok.

Jelas pengendali Portugal itu, dia mungkin membuat beberapa perubahan dan pemain kebangsaan Armenia itu terlibat dalam percaturannya.

“Dia (Mkhitaryan) boleh (kembali). Saya membuat beberapa perubahan untuk perlawanan itu tetapi tidak banyak kerana Bristol City adalah salah satu pasukan terbaik dalam Liga Kejuaraan.

“Bagi saya sekarang, kejuaraan liga bukan kejuaraan lima atau 10 tahun lalu. Liga Kejuaraan kini mempunyai pasukan berkualiti tinggi dengan banyak pemain yang boleh bermain di Liga Perdana dengan mudah.

“Oleh itu, kita perlu mengambil permainan ini dengan serius. Saya akan membuat beberapa perubahan dan mungkin Micki terlibat,” katanya seperti yang dilaporkan The Guardian.

Bintang tengah itu bergelut dengan musim pertamanya di Old Trafford tetapi berjaya memenangi hati Mourinho selepas mempamerkan aksi cemerlang dengan menjaringkan dua gol dan mencipta enam peluang gol pada Ogos dan September lalu.

Namun dia tidak diturunkan dalam tujuh perlawanan terakhir kerana Mourinho didakwa kecewa dengan prestasinya ketika berdepan Liverpool dan Chelsea.

Laporan sebelum ini mendakwa Mkhitaryan percaya taktitk pertahanan Mourinho harus dipersalahkan atas prestasi hambar ketika menentang dua seteru utama United itu.

Malah ESPN melaporkan Mkhitaryan dan Mourinho bergaduh di pusat latihan Carrington selepas bekas pemain Borussia Dortmund itu mengkritik pengendali Portugal berkenaan di hadapan pemain lain.

Perang mulut itu berlanjutan semasa sesi analisis video prestasi Mkhitaryan ketika diturunkan sebagai pemain gantian semasa berdepan Brighton bulan lalu.

Aksi hambar Mkhitaryan menjadi punca utama Mourinho mahu mendapatkan khidmat bintang Arsenal, Mesut Ozil. – MalaysiaGazette