Shahrir Samad

KUALA LUMPUR – Felda tidak menerima sebarang bayaran daripada Synergy Promenade Sdn. Bhd. hasil penjualan tanah miliknya di Jalan Maktab dekat sini.

Synergy Promenade adalah syarikat yang diberikan kuasa pentadbir (power of attorney) kepada tanah tersebut oleh Felda.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad menegaskan laporan polis telah dibuat pada 12 Disember kerana mendapati urusniaga tersebut memiliki unsur-unsur salah laku.

Selain laporan polis, Felda akan membatalkan kuasa pentadbir yang telah diberikan kepada Synergy Promenade, mengemukakan saman sivil kepada pihak terbabit dan mendaftar kaveat tanah berkenaan.

“Kami membuat laporan polis setelah mendapat nasihat dan diminta oleh Jabatan Peguam Negara dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri.

“Kami tidak ada masalah jika tanah itu mahu dibangunkan tetapi kenapa perlu dijual?

“Malah wang hasil penjualan juga tidak direkodkan di dalam akaun kami,” katanya semasa sidang media khas di sini hari ini.

Tambah Shahrir terdapat empat perjanjian jual beli (SPA) yang dimeterai oleh Synergy Promenade dengan syarikat itu sendiri melibatkan transaksi bernilai Rm270 juta bagi jual-beli tanah milik Felda itu.

Ini sekali gus menunjukkan terdapat penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran peraturan di dalam pindah milik tanah tersebut.

Menurut beliau, Unit Kawal Selia, Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap Felda sebelum ini hanya maklum mengenai pelantikan Synergy Promenade sebagai kuasa pentadbir serta mengenai cadangan pembangunan tanah berkenaan yang mana Felda Investment Corporation dilantik sebagai Perunding Pengurusan Projek (PMC).

Unit tersebut bagaimanapun tidak dimaklumkan mengenai urusan pindah milik tanah berkenaan kepada Synergy Promenade.

Menurut Shahrir beliau mengetahui mengenai hal ini pada Januari lalu dan terus memohon supaya tanah tersebut dilakukan kaveat.

Mereka berjaya mendapatkan kaveat pensendirian pada April lalu. – MalaysiaGazette