Pengerusi NGO No 1 Malaysia, Ali Tinju menghulurkan bantuan kepada seorang penduduk yang uzur di Bandar Tun Razak semalam.

KUALA LUMPUR – Ada yang menangis gembira, ada yang merayu mahu Ali Tinju jadi ketua bahagian.

Itu antara reaksi penduduk di Flat Sri Labuan, Bandar Tun Razak apabila keprihatinan Ali Tinju yang Presiden NGO No.1 Malaysia yang menghulurkan bantuan kepada ahli UMNO yang uzur dan sakit.

Ali Tinju atau nama sebenar Mohd. Ali Baharom menghulurkan bantuan dan berjumpa sendiri kepada lima orang penduduk di kawasan itu semalam.

Ali Tinju mengambil tindakan segera itu selepas terpanggil ekoran aduan yang diterima daripada ahli-ahli menerusi sebuah kumpulan Whatsapp.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Cawangan Bandar Tassik Selatan itu mendapat maklumat itu pada Selasa lepas mengumpulkan beberapa ahli NGO berkunjung ke rumah individu berkenaan bagi menghulurkan sumbangan sebagai meringankan beban.

“Mana boleh biarkan rakyat di situ hidup tanpa diambil tahu oleh pemimpin yang ada.

“Bagaimana Bandar Tun Razak boleh kembali kepada BN jika pemimpin yang ada di situ tidak mahu ambil peduli tentang masalah rakyat.

“Kita mahu pilihan raya akan datang Bandar Tun Razak kembali kepada Barisan Nasional,” katanya hari ini.

Beliau juga hairan bagaimana pucuk pimpinan UMNO di kawasan Bandar Tun Razak (BTR) boleh terlepas pandang terhadap penduduk yang susah sedangkan tanggungjawabnya adalah memastikan masyarakat di situ terbela.

Menurutnya, sejak BTR dimenangi pembangkang, banyak masalah penduduk tidak mendapat perhatian.

Dalam program yang diadakan petang semalam, lebih 20 orang menyertai Ali Tinju berkunjung ke beberapa buah rumah warga emas bagi menghulur bantuan berupa wang tunai dan barang keperluan.

Antara rumah-rumah yang dikunjungi adalah merupakan pesakit yang telah lama terlantar tanpa mendapat perhatian daripada mana-mana pihak. – MalaysiaGazette