Peguam Syarikat By Dr Azlan, Shahrulazwad Ismail (tengah) bersama pemilik syarikat yang sama, Azlan pada sidang media berkenaan isu melibatkan Amy Search di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Produk kesihatan jenama By Dr Azlan tampil menjelaskan paparan gambar di laman Instagram vokalis Search, Amy mengenai produk itu dengan tulisan ‘penipuan’ hari ini.

Apa yang berlaku berpunca daripada salah faham, kata peguam syarikat tersebut, Shahrulazwad Ismail.

Menurutnya, gambar yang menunjukkan Amy memegang produk Teh Herba Triple itu dilakukan oleh ejen syarikat bertujuan membuat promosi di laman sosial.

Jelasnya, ini sekali gus menolak dakwaan syarikat terbabit dengan isu kontroversi yang telah mencetuskan rasa tidak puas hati Amy yang beranggapan dirinya telah dipergunakan.

“Hasil siasatan syarikat, kami mendapati ejen itu melakukan strategi pemasaran menggunakan gambar Amy melalui orang tengah.

“Jadi ejen itu telah diberi amaran termasuk orang tengah itu supaya menghentikan promosi dengan memadam gambar itu di laman sosialnya.

“Jadi syarikat tidak terbabit langsung dalam penghasilan dan penggunaan gambar. Syarikat juga tidak pernah merancang untuk melantik Amy sebagai duta syarikat apatah lagi menipu atau memperdayakan beliau bagi tujuan endorsemen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di sini hari ini.

Turut hadir pengasas produk By Dr Azlan, Datuk Dr Norazlanshah Hazali.

Produk By Dr Azlan yang berada di pasaran sejak tahun 2011 dikeluarkan oleh syarikat yang menggunakan nama jenama sama.

Baru-baru ini, Amy meluahkan rasa bengang dengan sikap sesetengah pengeluar makanan tambahan yang mengambil kesempatan menggunakan nama dan fotonya dalam mempromosikan barangan keluaran mereka.

Menerusi laman Instagram miliknya, Amy memuat naik foto memperlihatkan dia sedang memegang satu jenama produk kesihatan tanpa nama dengan tulisan ‘penipuan’.

Jelas Amy, dia tidak dilantik menjadi duta kepada produk tersebut dan tidak mengetahui barangan yang dijual itu.

Sementara itu, Norazlanshah menambahnya, pihaknya perlu tampil menjelaskan isu kerana ia telah menjejaskan reputasi syarikat.

Jelasnya, ini kerana terdapat komen negatif yang diterima syarikat termasuk dalam kalangan selebriti yang mengulas isu itu di Instagram Amy selain komen-komen netizen. – MalaysiaGazette