Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

KUALA LUMPUR – Umat  Islam di negara ini diseru supaya tidak sesekali berkompromi dengan sebarang tindakan penindasan agama termasuk apa yang berlaku di Baitulmaqdis walaupun melibatkan kuasa besar dunia.

Sebaliknya, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Tan Sri Shahrizat Jalil berkata, keseluruhan umat Islam perlu bangkit dan bersatu padu menentangnya.

Jelasnya, pencerobohan yang dilakukan terhadap Baitulmaqdis memerlukan bantahan khususnya umat Islam.

“Kita jangan sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk penindasan, saya rasa sangat lega dan bersyukur kita masih mampu bangkit mempertahankan hak kita.

“Apa yang sedang dilakukan oleh umat Islam seluruh dunia sebenarnya memberi tekanan kepada pihak di luar sana dalam isu Baitulmaqdis. Semua ini kerana kita bersatu padu dan bersama-sama menegakkan kebenaran.

“Ini juga adalah satu mesej bahawa umat Islam tidak akan berdiam diri dengan sebarang bentuk penindasan seperti ini, ayuh kita sama-sama bersatu padu tentang pencerobohan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan serta hadiah Krismas kepada warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan kanak-kanak yatim di Rumah Kebajikan House of Joy di Puchong hari ini.

Dalam pada itu, ketika berucap, Shahrizat sekali lagi memberi penekanan kepada kepentingan hidup bersatu pada di bawah ‘satu bumbung’ di negara ini.

“Kita tidak seharusnya memberi sebarang peluang kepada mana-mana pihak untuk membuat sebarang ganggu gugat yang boleh menjejaskan perpaduan yang telah lama terjalin antara satu sama lain.

“Jangan sesekali beri ruang atau kompromi. Malaysia adalah sebuah negara yang unik dengan pelbagai bangsa dan kaum yang sebenarnya hidup dalam aman dan damai.

“Dunia luar sendiri kagum dengan kestabilan yang telah dikecapi oleh kita selama ini, kerana itu juga pelabur luar berubut-rebut untuk melabur. Kita bukan sahaja dapat hidup aman damai malah kestabilan politik juga menarik dunia untuk datang ke sini,” tegasnya.

Terdahulu, seramai 130 penghuni rumah kebajikan terdiri daripada 50 kanak-kanak dan remaja, OKU dan 60 warga emas menerima sumbangan sempena perayaan Krismas.

Ini merupakan antara sebahagian daripada aktiviti YKN bagi membantu dan menunjukkan rasa prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik, antara yang disampaikan termasuk  sumbangan wang tunai, pakaian sekolah dan barangan penjagaan diri.

House of Joy merupakan sebuah organisasi swasta yang menempatkan anak-anak yatim, kanak-kanak kurang bernasib baik dan orang-orang tua yang tidak berkemampuan.

Antara program yang dijalankan di rumah tersebut termasuk latihan kraf tangan, membantu kanak-kanak untuk meneruskan persekolahan dan latihan pekerjaan bagi menjamin masa depan mereka.- MalaysiaGazette