Ketua Pegawai Eksekutif PBNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad menernagkan pengagihan Pendapatan Suku Keempat ASB dan ASN di Menara PNB, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 22 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Bhd. (PNB) merancang untuk meningkatkan pelaburan luar negara tahun hadapan.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PBN, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, dana pengurusan pelaburan itu berminat untuk meningkatkan pelaburan di dalam dana ekuiti awam global dan juga dana ekuiti swasta global.

“Meskipun merancang untuk meningkatkan pelaburan luar negara kami akan melakukannya secara berhemah, strategi mesti disusun dengan berhati-hati dan pastinya kami akan mengekalkan sikap konservatif sama seperti dahulu,” katanya semasa sidang media pengumuman agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Nasional di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar menambah, entiti itu berminat untuk meneruskan aktiviti pelaburan semula selepas mencairkan aset mereka di dalam bidang hartanah.

Katanya, apabila sesuatu aset hartanah telah mencapai nilai maksima, mereka akan menjualnya dan dilaburkan ke dalam pelaburan yang lebih baik dan memberikan pulangan yang lebih tinggi.

“Ini yang kami lakukan di Australia apabila hartanah kami di Brisbane sudah mencapai tahap matang dan mencapai nilai maksima, kami menjualkannya sebelum melabur di dalam portfolio yang memberi pulangan yang lebih lumayan.

“Jadi kami akan sentiasa mengambil langkah sedemikian.

“Di London pula, bergantung kepada hartanah tersebut dan pulangannya, kami merancang untuk melabur dalam bidang hartanah di West End dan bukannya di wilayah kewangan seperti biasa,” katanya.

Dalam perkembangan berbeza, Abdul Wahid menyatakan pandangan peribadinya mengenai kajian dasar terbaharu Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas) yang mengatakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mencuri ruang pelaburan swasta adalah sesuatu yang tidak tepat (misleading).

Katanya, beliau menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh Khazanah Nasional Bhd. semalam yang menyangkal kajian tersebut.

“Kesimpulan yang dibuat oleh kertas kajian tersebut adalah tidak tepat dan salah.

“Secara keseluruhannya saya katakan kehadiran GLC disokong oleh syarikat-syarikat pelaburan kerajaan (GLIC) adalah berjaya,” katanya.

Kajian dasar yang ditulis oleh Ketua Pakar Ekonomi Asian Development Bank, Dr. Jayant Menon menyimpulkan peranan kerajaan di dalam perniagaan adalah sangat besar meskipun ia berhasrat untuk mengurangkannya.- MalaysiaGazette