Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Akta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia  (AKSEM) bagi memperkemaskan tindakan kawalan dan penguatkuasaan terhadap kegiatan yang menyalahi undang-undang di sempadan darat negara akan dilaksanakan Jumaat ini.

Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), akta itu ditetapkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berdasarkan subseksyen 1(2) Akta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia 2017 (Akta 799).

“Fungsi AKSEM diperluaskan bagi melaksanakan kawalan di sempadan darat negara termasuk di Sabah dan Sarawak, sekali gus membolehkan AKSEM melaksanakan operasi sehingga ke garis sempadan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah KDN, keanggotaan AKSEM membabitkan lima agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).

Dalam masa yang sama ia turut membenarkan mana-mana pegawai awam dilantik menyertai AKSEM mengikut keperluan, sekali gus memperkukuhkan lagi tahap kawalan keselamatan, yang ketika ini dilaksanakan Pasukan Gerakan Am (PGA), PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), serta agensi penguatkuasaan lain. -MalaysiaGazette