Johari Abdul Ghani

Kehadapan Tun,

  1. Ramai rakan-rakan yang merupakan pembaca blog Tun telah menghubungi saya bagi mendapatkan penjelasan susulan tulisan terkini Tun bertajuk “Dear Mr. Johari”, berhubung isu urusniaga spekulatif tukaran wang asing.

Pada mulanya saya memberitahu mereka bahawa saya sudah membuat penjelasan penuh mengenai perkara tersebut dan tidak berminat untuk memanjangkan cerita ini tambahan pula sudah ada sebuah pasukan bebas PDRM sedang menyiasat perkara ini.

Subjek aktiviti tukaran wang asing kadangkala merupakan subjek yang sangat teknikal kepada sesetengah orang biasa terutama jika ia berkaitan dengan peranan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menguruskan rizab antarabangsa negara.

Bagaimanapun, saya rasa adalah baik jika saya cuba untuk menutup perbincangan mengenai isu ini dengan menggunakan perspektif yang lebih ringkas bagi memudahkan pemahaman.

  1. Adalah penting bagi orang awam secara keseluruhannya memahami perbezaan di antara aktiviti spekulatif tukaran wang asing dengan pasaran tukaran wang asing secara terurus dan teratur.

Aktiviti spekulatif tukaran wang asing dalam bahasa yang lebih mudah adalah “judi” yang mana kita mengharapkan pulangan segera.

Manakala pasaran tukaran wang asing secara terurus pula sangat berbeza yang mana ia menyediakan kecairan oleh BNM kepada peserta pasaran di dalam negara ini bagi mengurangkan ketidakseimbangan di antara bekalan dan permintaan ringgit dalam pasaran.

  1. Untuk perhatian, perkara ini telah dinyatakan dalam Laporan Audit Dalaman yang disediakan oleh Auditor-Auditor Dalaman BNM bertarikh 21 Januari 1994 dengan Jabatan Operasi Tukaran Wang Asing, Jabatan Perbankan dalam BNM terlibat dengan pelbagai aktiviti perdagangan tukaran asing dengan urusniaga matang jual dan beli secara purata berjumlah RM140 bilion pada 1992 melonjak kepada RM750 bilion pada 1993!

Jumlah urusniaga yang besar itu sangat spekulatif dan tidak mencerminkan mandat BNM untuk mengekalkan persekitaran teratur pasaran tukaran wang asing seperti yang termaktub dalam Seksyen 4, Ordinan Bank Negara Malaysia 1958.

  1. Laporan Audit Dalaman turut menyatakan jumlah urusniaga spekulatif tukaran wang asing itu dianggap keterlaluan kerana dana pemegang saham BNM hanyalah RM4.4 bilion dan rizab antarabangsa negara menghampiri RM43.98 bilion pada ketika itu.

Aktiviti spekulasi ini menyebabkan BNM kerugian hampir RM31.5 bilion ketika itu.

5.Laporan Audit turut menyatakan aktiviti spekulasi yang banyak itu dibuat semasa Bahagian Tukaran Wang Asing, Jabatan Perbankan BNM diketuai oleh penasihat/pengurusnya Encik Nor Mohamed Yakcop yang kemudiannya dilantik sebagai Menteri Kewangan II negara.

  1. Disebabkan kerugian besar itu, kerajaan terpaksa memindahkan saham-saham dalam Telekom dan Tenaga Nasional kepada BNM pada nilai nominal RM1 sesaham dan kesemua saham tersebut dinilai semula dengan segera oleh BNM pada kadar masing-masing RM22.10 sesaham dan RM19.30 sesaham untuk Telekom dan TNB.

Sebagai tambahan, BNM telah melupuskan saham-saham Malaysia Airlines kepada pihak ketiga pada harga RM8 sesaham dan saham MISC pada RM10 kepada Kumpulan Wang Pencen bagi mendapatkan keuntungan.

Sekiranya kerugian ini tidak berlaku, kerajaan tidak perlu mengambil langkah drastik bagi melindungi kerugian BNM pada waktu itu.

7.BNM dan negara telah melakukan pelbagai usaha terutamanya di dalam menginstitusikan reformasi serta melakukan periksa dan imbang terhadap aktiviti urusniaga tukaran asing.

Hasilnya, di sebalik kemeruapan aliran keluar modal dan ringgit baru-baru ini, ekonomi kita terus kekal mampan dan BMN mampu melindungi kestabilan kewangan dan ekonomi negara.

Rizab antarabangsa terus mengukuh sejak itu dan setakat November 2017, rizab meningkat kepada AS$101.9 bilion dan mampu menampung 7.5 bulan import.

Saya telah puas bercakap mengenai perkara ini dan sekiranya kebenaran bukanlah matlamat perbincangan ini, saya rasa tiada apa lagi yang boleh saya katakan.

  1. Saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu dan semoga Tun dan keluarga diberikan kesihatan terbaik. Semoga tahun baharu ini memberikan keamanan dan kemewahan kepada semua rakyat Malaysia.

Yang benar,

Johari Abdul Ghani

*Datuk Seri Johari Abdul Ghani adalah Menteri Kewangan II