Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) mendedahkan DAP sedang merencana usaha ‘menjatuhkan’ Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ia dibuat bagi menggagalkan perpaduan dalam kalangan kaum Melayu yang semakin kuat antara Pas dan UMNO dakwa Presiden PMSP, Ramesh Rao.

Dalam satu kenyataan, beliau mendakwa ada pemimpin dalam DAP sudah dilihat mula menyogok orang Pas untuk menjalankan usaha menjatuhkam Abdul Hadi sebelum PRU-14.

“Abdul Hadi adalah halangan terbesar usaha DAP untuk memecahbelahkan seluruh rakyat Malaysia daripada jadi kenyataan.

“Ketika ini, UMNO dan Pas dilihat begitu rapat dalam perkara-perkara yang berkaitan rakyat, malah sudah boleh duduk sepentas membela nasib bangsa seperti yang berlaku terhadap etnik Rohingya dan masyarakat Palestin dalam isu Bailtulmaqdis.

“Abdul Hadi adalah halangan terbesar dalam hal ini, dan jika berjaya digulingkan, rakyat akan terus berjaya dipecah-belahkan oleh DAP,” kata Ramesh.

Tambah bekas ahli DAP itu, penyatuan orang Melayu mampu memberikan inspirasi kepada bangsa dan etnik lain untuk sama-sama bersatu ke arah kebaikan dan kemajuan negara sehingga membuatkan pembangkang tidak akan sekali-kali membiarkan perkara itu berlaku.

“Kini, DAP perlu memastikan Abdul Hadi jatuh untuk mereka terus menghasut orang Pas terus bermusuhan dengan orang lain supaya perpaduan yang menyeluruh tidak dapat diwujudkan,” katanya.

Mengambil contoh Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis pada Jumaat lalu menjadi petunjuk bahawa rakat di dalam negara ini semakin bersatu dalam isu berkaitan hubungan antarabangsa.

“Jadi DAP akan melakukan apa sahaja untuk menggagalkannya, kerana DAP tidak mahu melihat rakyat negara ini bersatu.

“Perkara paling utama ketika ini ialah menjatuhkan Abdul Hadi dari jawatan sebagai Presiden Pas,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.