Datuk Seri Shahidan Kassim
Datuk Seri Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menepis laporan New Straits Times (NST) baru-baru ini berhubung cubaan pihak polis menghapuskan bukti penemuan kubur beramai-ramai di Wang Kelian, Perlis.

Tidak cukup hanya dengan menulis sahaja, Shahidan mempelawa pemberita untuk meninjau sendiri tempat kejadian untuk melihat sendiri keadaan di lokasi itu.

“Saya boleh bawa pemberita tengok, ikut saya. Jangan setakat menulis, kita boleh tengok. Tidak ada masalah.

“Sebab ada cerita tentang bahan bukti yang dimusnah, saya harap kita pergi dan tengok sekali (bersama-sama),” katanya ketika ditemui selepas merasmikam rumah terbuka krismas Wilayah Persekutuan di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau memaklumkan akan mengaturkan lawatan bersama-sama pemberita di sana selewat-lewatnya dalam tempoh dua minggu lagi.

NST pada 20 Disember yang lalu melaporkan hasil siasatan selama dua tahun sepasukan wartawan mendakwa pihak berkuasa cuba menangguhkan pengumuman tentang penemuan kubur beramai-ramai selama kira-kira empat bulan.

NST turut mendakwa polis membuat pembersihan kawasan di mana kubur ditemui sehingga membinasakan pelbagai bukti jenayah. – MalaysiaGazette