SINGAPURA – Lapangan Terbang Changi akan menjadi lebih senyap apabila pengumuman panggilan terakhir untuk penumpang menaiki pesawat dan pengumuman spesifik untuk  penumpang dihentikan bermula 1 Januari ini.

Ia merupakan sebahagian daripada Inisiatif Terminal Senyap, dengan pengumuman di keempat-empat terminal lapangan terbang tersebut dihadkan kepada pengumuman yang penting sahaja seperti kelewatan penerbangan, kehilangan kanak-kanak dan pertukaran pintu masuk ke pesawat, kata Changi Airport Group (CAG) menerusi kenyataan media.

Langkah tersebut menyaksikan pengurangan pengumuman sebanyak 50 peratus dilakukan di lapangan itu dan bakal mewujudkan ‘persekitaran lebih santai untuk penumpang’, kata CAG.

Ketika ini setiap terminal melakukan satu pengumuman setiap lima minit.

“Dengan peningkatan penerbangan dan penumpang, mengekalkan kekerapan pengumuman bermakna terminal lebih bising dan lebih gangguan pada masa depan,” kata kenyataan CAG yang menyatakan Lapangan Terbang Changi akan mengendalikan 60 juta pergerakan penumpang menjelang akhir tahun ini.

Pada penghujung 2013, CAG telah bekerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan untuk mengurangkan bilangan pengumuman dilakukan bagi penumpang yang lewat tiba.

Sejak perubahan dilaksanakan pada 2014, ‘tiada kesan ke atas bilangan penumpang yang lewat untuk penerbangan mereka’ atau tiada syarikat penerbangan memberi sebarang maklum balas mengenai lebih ramai penumpang tertinggal penerbangan, kata CAG.

Lapangan terbang lain telah melaksanakan inisiatif yang sama, termasuk Hong Kong, Munich dan Doha. Sebagai contoh, di Brussel tiada pengumuman awam kecuali pengumuman kecemasan. – Agensi