Datuk Johan Abdul Aziz
Datuk Johan Abdul Aziz

SEMENYIH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz berkata isu samada beliau dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi itu adalah hak dan kuasa Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak.

Malah katanya lagi, adalah satu pembohongan pada dirinya jika beliau tidak memikirkan soal dicalonkan semula yang kini fokus kepada isu-isu masyarakat di kawasannya bagi membuktikan beliau mampu untuk terus mempertahankan kerusi Semenyih.

“Saya tidak berani cakap saya menyandang kerusi Semenyih. Itu hak dan kuasa yang ada pada Pengerusi Barisan Nasional (BN). Saya dicalonkan atau tidak bergantung kepada parti.

“Bukan tidak fikir pasal sambung (sebagai calon) atau tidak. Itu bohong tapi itu bukan yang pertama saya fikir,” katanya ketika menghadiri Program Jiwa Murni 11 Briged di Pusat Penjagaan Mahmudah Malaysia di Semenyih yang meraikan lebih 50 warga kurang bernasib baik dan golongan warga emas hari ini.

Malah Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar turut berpesan kepada semua ADUN BN di negeri itu agar menjaga kawasan masing-masing dalam misi merampas kembali negeri itu daripada kepimpinan pembangkang.

“Setakat ini Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar tidak beri sebarang isyarat untuk saya jadi penyandangnya. Tapi dia bagitahu jaga kawasan masing-masing kerana agenda BN Selangor adalah untuk rampas balik negeri ini.

“Agenda ini tidak perlu menang semua kerusi di Selangor, bukan tidak mahu menang semua 56 kerusi tapi 30 kerusi DUN sudah memadai untuk tadbir kembali negeri ini,” katanya.

Johan diangkat sebagai ADUN Semenyih pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) lalu dengan majoriti 4,145 undi.

Beliau menewaskan calon PKR, Hamdi A. Hassan dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Arutchelvan Subramaniams. -MalaysiaGazette.