Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim

KUALA LUMPUR – Rakyat perlu bijak membezakan fakta dan dakwaan tidak berasas oleh parti pembangkang khususnya berkenaan isu Felda, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Irmohizam Ibrahim.

Beliau pasti masalah yang dihadapi oleh Felda berkenaan isu pindah milik tanah di Jalan Semarak akan menjadi modal bagi parti pembangkang menghasut rakyat membenci kerajaan sedia ada.

“Pembangkang akan sentiasa cari isu dalam melakukan provokasi dan propaganda bagi mengheret rakyat membenci kerajaan yang sedia ada dalam isu ini.

“Dalam Islam pun ada konsep tabayun. Tabayun ini maksudnya adalah mendapatkan pencerahan terhadap sesuatu perkara sudah tentu bagi rakyat perlu melihat fakta terdahulu, melihat kesahihannya terutama tentang perkara yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau terdahulu diminta mengulas mengenai isu Felda baru-baru ini yang mengundang reaksi negatif dari parti pembangkang.

Tambah Irmohizam, tidak wajar untuk mana-mana pihak sekalipun untuk membuat kesimpulan awal dan tuduhan selagi siasatan daripada pihak polis selesai.

“Pada hemat saya lebih baik kita tunggu siasatan daripada pihak polis kerana sebagaimana kenyataan Pengerusi Felda perkara ini antara perkara yang ingin dilakukan secara berhemah khususnya dalam memastikan institusi Felda sentiasa diperkasakan.

“Yang paling penting sudah tentu rakyat menunggu siasatan pihak polis dalam memastikan setiap apa yang berlaku kebenaran dapat dirungkaikan,” jelasnya. – MalaysiaGazette