IMBAS KEMBALI. Staf Allianz Maluri menyampaikan bantuan persekolahan kepada anak-anak yatim di Kuang pada tahun lepas.

KUALA LUMPUR – Hujung tahun ramai yang sibuk dengan persiapan anak-anak untuk memulakan sesi persekolahan awal Januari nanti.

Dalam kesibukan itu kadangkala kita terlupa ada juga anak-anak yatim yang memerlukan sumbangan yang sama.

Justeru, syarikat insurans, Allianz Maluri mengambil inisiatif setiap tahun untuk tujuan membantu mereka yang memerlukan bantuan untuk sesi persekolahan baru.

Seperti tahun lepas, Allianz Maluri akan menganjurkan majlis amal untuk anak-anak yatim di Rawang.

Ketua Unit Pemasaran Allianz Maluri, Mohamad Hood Akta berkata, sumbangan itu merupakan tanggungjawab sosial korporat pihaknya selain menjadi perantara kepada pihak lain yang mahu membuat sumbangan amal jariah.

Menurutnya, selain kutipan wang tunai, pihaknya juga mengumpul barangan sumbangan orang ramai dan akan diberikan kepada wakil Rumah Anak Yatim Kuang.

Sehubungan itu, sesiapa yang mahu membuat sumbangan yang sama boleh menghubungi Sha di talian 012- 340 5490.– MalaysiaGazette