Ketua PPBM Bahagian Ampang, Zulkifly Mohamad (berdiri, dua kiri) diiringi Timbalan Ketua PPBM Bahagian Ampang, Zaiful Zaki (berdiri, kiri) beramah mesra dengan segelintir warga emas yang tinggalkan parti UMNO dan PAS pada sidang akhbar di Bandar Baru Ampang, Ampang. foto FAREEZ FADZIL, 29 DISEMBER 2017

AMPANG – Melihat kepada sokongan menggalakkan daripada pengundi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendakwa mereka lebih layak untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya berbanding DAP.

Ketua Bahagian PPBM Ampang, Zulkifly Mohamad berkata, penilaian perlu dibuat bagi melihat sama ada sesebuah parti itu mendapat sambutan pengundi disitu terlebih dahulu ia jika DAP mahu meletak calon di Lembah Jaya.

“Kalau semua nak kerusi ini, kita kena tunjukkan kekuatan kita.

“DAP kalau kita tengok peratusan undi dalam kalangan orang Cina hanya 25-26 peratus di Lembah Jaya, jadi kita kena menilai parti kita sendiri di DUN Lembah Jaya dimana saya rasa sokongan amat kuat terhadap PPBM,” kata beliau semasa sidang media selepas memberi sumbangan kepada pengundi warga emas di Lembah Jaya hari ini.

DUN Lembah Jaya kini disandang wakil rakyat Pas, Khasim Abdul Aziz selama dua penggal yang memenangi atas tiket kerjasama dalam Pakatan Rakyat dimana ketika itu rakan mereka terdiri daripada DAP dan PKR, tapi senario sudah bertukar selepas perpecahan dalam blok pembangkang.

Pas kini bersendirian di Selangor dan kini gabungan pembangkang baharu, Pakatan Harapan terdiri daripada PPBM, PKR, DAP dan PAN (Parti Amanah Negara) dan tiada Pas lagi.

PPBM sudah menyatakan hasrat mereka untuk bertanding di Lembah Jaya yang berada dalam kawasan Parlimen Ampang yang disandang PKR ketika ini.

Jelas Zulkifly lagi, DAP tidak mempunyai program khusus dalam mendekati pengundi di Lembah Jaya dimana PPBM sudah menggerakkan jentera mereka sejak beberapa bulan lalu.

“Nilai harus diasaskan kepada gerak gempur jentera dan sokongan rakyat.

“DAP tidak mempunyai program khusus untuk mendekati rakyat. Banyak buat program adalah PPBM,” ujarnya lagi.

Terdahulu, selain PPBM yang berminat untuk bertanding di Lembah Jaya, ura-ura juga mengatakan DAP turut mahu kerusi DUN tersebut bagi menambah kerusi mereka di negeri Selangor. – MalaysiaGazette